- nabalunews
Program kesedaran pendidikan di kalangan ibu bapa perlu diperluaskan lagi
2 Ogos 2024
KOTA BELUD : Program kesedaran pendidikan di kalangan ibu bapa perlu diperluaskan lagi agar semua ibu bapa di daerah Kota Belud menjadi golongan sasar dan mendapat manfaat dari program seperti ini.
Ini kerana penglibatan ibu bapa bersama-sama komuniti perlu diperkasakan agar mereka lebih berperanan dan bertanggungjawab dalam pendidikan anak-anak mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata perubahan persekitaran pendidikan masa kini menuntut penglibatan ibu bapa dengan lebih aktif untuk membentuk kemenjadian anak-anak mereka.
Katanya menerusi keseimbangan antara sokongan dan disiplin yang diberikan oleh keluarga, akan dapat memberikan asas yang kukuh untuk perkembangan murid.
Ewon berkata demikian dalam ucapan merasmikan Program TUAH : Kesedaran Pendidikan Di Kalangan Ibu Bapa, anjuran Unit Pemulihan Khas Sektor Pembelajaran dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud di Dewan Harmoni Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud pada 30 Julai.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Bank Rakyat,Datuk Philip Lasimbang yang mewakili Ewon.
Katanya sokongan ibu bapa adalah asas terpenting demi kemenjadian murid.
"Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada semua ibu bapa murid yang hadir memberikan kerjasama padu pada program yang amat bermakna pada hari ini.
"Sesungguhnya dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh semua ibu bapa yang terlibat membuktikan bahawa anda semua peka dan mengambil perhatian serius terhadap masalah pembelajaran dan keperluan anak-anak," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata program pada hari ini adalah bertujuan untuk menampilkan ibu bapa dengan personaliti cemerlang, memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya mengambil berat soal pelajaran anak-anak dan memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai pengesanan awal masalah pembelajaran yang dihadapi oleh anak mereka.
Antara pengisian program ini ialah ceramah keibubapaan, ceramah pengesanan awal murid berkeperluan khas dan perkongsian dari ibu bapa yang terpilih.
"Sudah tentu program seumpama ini memberi manfaat yang begitu besar kepada ibu bapa kerana anda semua merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan anak-anak dan memegang amanah serta tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik mereka sejak kecil lagi.
"Maka pendidikan terbaik merupakan salah satu hak yang perlu ibu bapa berikan kepada semua anak-anak demi menjamin masa depan mereka kelak," katanya.
Ewon menyeru kepada ibu bapa untuk terus menyokong apa jua perancangan dan aktiviti sekolah mahupun jabatan pendidikan agar kecemerlangan anak-anak dalam akademik dapat dicapai demi kebaikan mereka.
"Apa yang penting keprihatinan dan fokus anda semua dapat dijelmakan dalam bentuk tindakan yang diberikan," katanya.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Kusin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Bahasa Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Yahya Mustafa, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri Sabah Fazil @ Fadzil Mohd Jamil, Pakar Kesihatan Keluarga UD54, Dr. Nurainee Ibrahim serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod.
留言