top of page

Projek naik taraf jalan daripada bulatan Sabindo ke SMK Kinarut dalam fasa pelaksanaan.

  • nabalunews
  • May 4
  • 1 min read

4 Mei 2026


PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari bulatan Sabindo ke SMK Kinarut kini memasuki fasa pelaksanaan sekaligus menandakan lonjakan strategik dalam memperkasa infrastruktur dan mobiliti di daerah ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berimpak tinggi itu antara empat inisiatif utama yang diberi keutamaan.


Selain itu, katanya, tiga lagi projek pembangunan yang dirancang termasuk pembinaan bypass Jalan Pengalat Papar.

“Begitu juga dengan pembinaan SMK Gana kini berada dalam fasa persiapan tender dan projek Jambatan Papar 2 di KM20.4 kini masih di peringkat cadangan.


“Projek naik taraf Jalan Lok Kawi akan dilaksanakan serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, bermula 30 Mac 2026 hingga 29 Mac 2028,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan sesi taklimat berkenaan di Urus Setia Pejabat Daerah Papar.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim serta ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar.


Armizan berkata, Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan secara rasmi kepada kontraktor bagi memulakan transformasi jaringan jalan raya yang lebih efisien dan selamat.


Sementara itu, Armizan berkata, skop projek melibatkan penaiktarafan jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala dan pembinaan jejantas pejalan kaki.


“Begitu juga dengan pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, serta penaiktarafan tiga bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.


“Pembinaan turut merangkumi perhentian bas, hentian motosikal, laluan berbumbung sekolah, kerja-kerja pengalihan utiliti serta pengambilan tanah.


“Projek ini dibiayai melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page