Projek Perparitan Kampung Terintiden selesai, komuniti tarik nafas lega
1 November 2024
KOTA BELUD: Projek kecil perparitan di Kampung Terintiden, Kadamaian, Kota Belud, untuk mengatasi masalah aliran air melimpah ke rumah penduduk dan mengganggu kehidupan seharian mereka setiap kali hujan lebat, kini telah siap sepenuhnya.
Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Laijimin, baru-baru ini melawat
Kampung Terintiden untuk meninjau pelaksanaan projek yang dibiayai melalui peruntukan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Carlye berharap dengan siapnya projek kecil perparitan ini, akan dapat mengurangkan kesulitan penduduk serta mengelakkan kerosakan harta benda mereka.
Menurut Carlye, keprihatinan Datuk Ewon terhadap kebajikan penduduk setempat terbukti melalui projek ini.
“Dengan siapnya sistem perparitan ini, kami berharap ia dapat meringankan beban penduduk yang sering berhadapan dengan masalah air melimpah setiap kali musim hujan,” katanya.
Lawatan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin komuniti termasuk Clarence Somuil, Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian; Idas Lumayan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terintiden; serta Bob Mackangy Loasi, Pengerusi Belia Kampung Terintiden.
Idas merakamkan penghargaan kepada Ewon atas komitmennya dalam memastikan setiap kampung di Kadamaian, termasuk Terintiden, mendapat perhatian sewajarnya.
“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan beliau dalam menyelesaikan masalah yang kami hadapi selama ini,” katanya.
Projek ini diharap bukan sahaja dapat memperbaiki sistem perparitan, tetapi juga mewujudkan persekitaran lebih selesa dan selamat untuk penduduk, terutama ketika musim hujan.
Comments