Projek SK Rancangan Belia Tiulon capai 80 peratus, dijangka siap hujung 2026
- nabalunews
- Jan 11
- 1 min read

11 Januari 2026
SOOK: Pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Belia Tiulon kini mencapai tahap kemajuan 80 peratus dan berjalan mengikut jadual dengan jangkaan siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata sekolah baharu itu akan menggantikan sepenuhnya bangunan lama yang sudah uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan bilangan murid.
Menurutnya, projek pembinaan berkenaan merangkumi kemudahan lengkap termasuk bangunan bilik darjah, bilik guru, blok pentadbiran, blok kantin, makmal sains, bilik sumber, pondok pengawal, lapan unit kuarters guru serta padang sukan.
“Dengan adanya bangunan sekolah baharu ini akan memberi limpahan kepada semua masyarakat termasuk murid-murid, ibu-bapa, guru-guru serta masyarakat setempat dengan penambahbaikan kemudahan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Arthur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, berkata kawasan Rancangan Belia Tiulon kini sedang mengalami pembangunan pesat hasil pelaksanaan beberapa projek pembangunan utama.
Menurutnya, selain pembinaan baharu SK Rancangan Belia Tiulon, projek naik taraf Jalan Rancangan Belia Tiulon ke Simbuan turut sedang giat dilaksanakan.
Tambah beliau, pembinaan menara telekomunikasi baharu serta bangunan pasar tamu baharu di kawasan berkenaan telah siap sepenuhnya dan kini memberi kemudahan kepada penduduk setempat.
“Kesemua projek pembangunan ini merupakan sebahagian daripada janji pilihan raya saya kepada penduduk kawasan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
“Janji kini sedang ditunaikan dan kawasan ini sedang berubah dengan pembangunan yang rancak. Semua ini adalah hasil usaha dan perancangan berterusan saya sebagai wakil rakyat untuk membangunkan kawasan pedalaman Sabah,” katanya.















Comments