top of page
nabalunews

Pukul anjing sehingga mati, lelaki Toraja ditangkap polis



6 November 2024


KENINGAU: Polis Daerah Keningau menahan seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun kerana disyaki memukul seekor anjing menggunakan batang besi sehingga mati.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil AK Garai berkata penahanan ke atas suspek dibuat susulan laporan orang awam mengenai video tular berdurasi 1 minit yang memaparkan seorang lelaki memukul seekor anjing dengan menggunakan sebatang besi.


Dalam satu kenyataan hari ini, Yampil berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.26 petang semalam.


Katanya siasatan mendapati kejadian berlaku pada 24 Oktober lalu di bengkel Wan Li Enterprise, Kampung Patikang, Keningau.


"Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 10.30 malam, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau telah menangkap saspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun berbangsa Toraja dan merampas peralatan yang digunakan semasa kejadian," katanya.


Yampil berkata kes disiasat mengikut seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh haiwan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran video tersebut.


Saspek kini direman selama 3 hari untuk siasatan lanjut.


"Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat yang membantu sehingga tertangkapnya saspek.


"Polis menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini di media sosial yang akan menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.

Comments


bottom of page