Pusat pemindahan banjir bersepadu di Tenom siap 30 peratus
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

4 Mei 2026
KOTA KINABALU: Projek pembinaan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Bersepadu di Mandalom, Tenom kini mencapai tahap kemajuan kira-kira 30 peratus dan dijangka mampu menempatkan mangsa banjir dengan pelbagai kemudahan lengkap serta selesa apabila siap kelak.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata beliau telah meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan serta menerima taklimat daripada pihak kontraktor mengenai status semasa pembinaan.
“Kemudahan ini dibangunkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, selain memastikan kebajikan mangsa terpelihara dengan penyediaan infrastruktur yang lebih sistematik dan kondusif.
“Apabila siap nanti, pusat ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pemindahan sementara mangsa banjir, malah dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memberikan keselesaan kepada penghuni,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut beliau, dewan berkenaan turut dirancang untuk dimanfaatkan sebagai gelanggang futsal dan aktiviti sukan lain ketika tidak digunakan sebagai pusat pemindahan banjir.
Selain itu, katanya kemudahan di pusat pemindahan yang dibina bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Mandalom itu juga boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti serta menyokong pembangunan pelajar.
Jamawi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Kementerian Pendidikan atas kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek berkenaan.
“Rakyat di DUN Melalap amat menghargai usaha ini yang jelas memberi manfaat besar kepada komuniti, khususnya dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan ketika berdepan bencana,” katanya.











