Pusat Penjaja Moden Kundasang Bakal Perkukuh Ekonomi 90 Usahawan Mikro

Oleh: Romie Stanley DGuns
RANAU, 6 Okt – Lebih daripada 90 usahawan tempatan di Kundasang bakal menikmati kemudahan perniagaan yang lebih tersusun dan selesa menerusi pembangunan Pusat Penjaja Moden Kundasang bernilai RM2.275 juta yang kini hampir siap sepenuhnya.
Pusat penjaja moden itu dibangunkan di atas tapak seluas 1.5 ekar dan bakal menyediakan kemudahan gerai jualan, medan selera serta stor kepada kira-kira 90 usahawan mikro tempatan.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau.
Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Datuk Ewon Benedick semasa beliau memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 25 Oktober 2025.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau, Amirul Azril Zulfkli, berkata projek itu bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan yang lebih teratur kepada peniaga, malah memperkukuh aktiviti ekonomi serta sektor pelancongan di Kundasang.
“Antara manfaat besar kepada usahawan Kundasang ialah peruntukan RM2.275 juta bagi pembangunan Pusat Penjaja Moden Kundasang yang bakal memberi kemudahan perniagaan kepada sekitar 90 usahawan tempatan, selain pelaksanaan inisiatif Tamu Desa untuk memperkukuh ekonomi usahawan mikro dan kecil luar bandar,” katanya.
Menurut Amirul, perubahan positif kini dilihat di Pekan Kundasang hasil usaha berterusan Ewon dalam memajukan usahawan dan koperasi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan itu dijangka memberi impak besar kepada ekonomi setempat, khususnya dalam menyokong pertumbuhan usahawan kecil dan sektor pelancongan Kundasang.















Comments