Qhazanah serah RM1.2 juta zakat perniagaan kepada Pusat Zakat Sabah
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

18 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad (QSB) memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya melalui penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM1.235 juta bagi tahun kewangan 2025 kepada Pusat Zakat Sabah.
Pengerusinya, Tan Sri Anifah Aman berkata selain zakat kumpulan itu, syarikat bersekutunya, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd turut menyumbang sebanyak RM1.1 juta kepada pusat zakat berkenaan bagi membantu golongan asnaf di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kumpulan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umat Islam berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan.
“Dalam usaha mengejar kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri, kita tidak boleh melupakan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Ramadan mengingatkan kita tentang nilai keinsanan, keprihatinan dan kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim dan Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Qhazanah Sabah, di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, seramai 60 anak yatim daripada HOME Tuaran serta Persatuan Rumah Anak Yatim dan Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Beaufort diraikan sebagai tetamu istimewa, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan QSB terhadap tanggungjawab sosialnya di negeri ini.
Menurut Anifah, kehadiran anak-anak tersebut bukan sahaja menyerikan majlis, malah menjadi peringatan tentang pentingnya kasih sayang serta sokongan masyarakat dalam membina masa depan yang lebih baik.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Mohamad Damshal Awang Damit dan pengurusan kanan syarikat serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Malai Ali Malai Ahmad.











