top of page

Rakaman Tangkapan Semasa Tugas Polis Tular, Kes Kecurian Berjaya Diselesaikan

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 1 min read
ree

18 Disember 2025


KOTA KINABALU: Polis daerah ini mengesahkan rakaman tular yang memaparkan anggota polis menahan dua lelaki di Telipok, adalah kejadian sebenar yang berlaku pada 12 Disember lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tangkapan melibatkan dua orang suspek lelaki warga tempatan berusia 28 tahun dan 22 tahun yang terlibat dalam kes curi.


Katanya, mangsa melibatkan seorang wanita berusia 56 tahun yang kehilangan sebuah beg silang yang mengandungi beberapa dokumen termasuk pengenalan diri dengan anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM1,500.


“Semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah kereta sewa yang dilengkapi sistem pengesanan GPS.


“Maklumat berkenaan telah disalurkan kepada pasukan polis dan pada hari yang sama kira-kira jam 4.20 petang, anggota yang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) berjaya mengesan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Kasim berkata, pihak polis terpaksa mengejar kenderaan berkenaan sebelum terbabas dan kedua-dua suspek berjaya ditahan.


“Pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemukan semula barang-barang milik mangsa. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes lain.


“Permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain rakaman percakapan saksi-saksi dan tindakan siasatan susulan,” katanya.


Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan harta benda.


Katanya, orang ramai juga disarankan untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu pencegahan dan penyelesaian kes jenayah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page