top of page

Baju Impit Livogu warisan kaum Dusun Labuk Telupid

  • nabalunews
  • 45 minutes ago
  • 3 min read

23 Jun 2026


TELUPID: Di sebalik kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan bulan Mei setiap tahun, terdapat pelbagai khazanah budaya masyarakat Sabah terus dipelihara dan diperjuangkan agar tidak luput ditelan zaman.


Antaranya pakaian tradisional Impit Livogu, warisan unik kaum Dusun Labuk bagi suku Turavid di Telupid.


Pakaian tradisional ini bukan sekadar busana etnik, malah mempunyai nilai sejarah dan budaya yang berkait rapat dengan amalan serta kepercayaan masyarakat terdahulu.


Menurut penyelidik dan pengasas pembangunan semula Baju Impit Livogu, Fauziah Kudus, usaha mendokumentasi dan menghidupkan semula pakaian itu dimulakan sejak 1992 melalui kajian lapangan dan pengumpulan sumber etnografik.


Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Jurulatih Kesenian di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah di Telupid berkata, projek pemuliharaan budaya yang dijalankan ketika itu bukan sahaja tertumpu kepada tarian dan muzik tradisional, malah turut melibatkan usaha memetakan warisan pakaian masyarakat setempat.



“Pakaian tradisional adalah sebahagian daripada identiti sesuatu komuniti. Jika ia tidak didokumentasikan dan dipelihara, generasi akan datang mungkin tidak lagi mengenali asal-usul budaya mereka sendiri,” katanya.


Kajian awal mengenai Impit Livogu diperoleh daripada pemilik asal pakaian tersebut, mendiang Ongit Lagak, selain maklumat tambahan daripada waris keluarganya, Fatimah Sabitang.


Namun, projek berkenaan terpaksa ditangguhkan apabila tumpuan diberikan kepada penyelidikan dan dokumentasi Upacara Alum Rami, iaitu satu upacara tradisional bagi menghormati roh mangsa korban hasil buruan kepala yang diamalkan suatu ketika dahulu.


Hasil kajian itu kemudiannya berjaya dipentaskan sempena Pesta Kaamatan Telupid pada tahun 1993 sebelum dipersembahkan semula pada tahun 2010 dan 2011. Upacara tersebut turut dipentaskan di Festival Tari Kebangsaan Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2008 dalam kategori Etnik Kreatif.


Menurut Fauziah, salah satu tujuan utama memperkenalkan semula Baju Impit Livogu adalah untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda mengenai fungsi asal pakaian tersebut dalam upacara tradisional masyarakat Turavid.


Katanya, pakaian itu lazimnya dipakai oleh wanita yang bertindak sebagai pembaca rinait atau mentera bagi menyempurnakan sesuatu upacara adat, manakala kaum lelaki memainkan peranan sebagai penyahut dan pemberi sokongan melalui laungan serta seruan yang melambangkan semangat kepahlawanan.


Selepas memperoleh pelepasan hak pemilikan pada Oktober 2022, usaha menyiapkan semula contoh pakaian Impit Livogu diteruskan dengan lebih sistematik.


Proses tersebut mengambil masa yang panjang kerana setiap elemen reka bentuk, motif dan penceritaan perlu disahkan berdasarkan sumber yang sahih bagi memastikan keaslian warisan itu terus terpelihara.


Usaha itu mula membuahkan hasil apabila Baju Impit Livogu diperkenalkan kepada khalayak menerusi pentas Unduk Ngadau pada tahun 2023. Penampilannya mendapat perhatian apabila digayakan oleh beberapa peserta termasuk Ra’raa Jacinta Anne, Ra’raa Dorren Olivia, Ra’raa Judith Edwin yang muncul Naib Johan Unduk Ngadau KDCA 2024 serta Ra’raa Amanda Joan yang turut meraih gelaran Naib Johan pada tahun 2025.


Pada tahun ini, pakaian tersebut sekali lagi diketengahkan menerusi penyertaan Ra’raa Cyra Eva Bella dari Telupid atau lebih dikenali sebagai Ra’raa Linggaman.


Walaupun tidak berjaya mara ke kelompok 25 terbaik Unduk Ngadau KDCA Peringkat Negeri, beliau berjaya mencuri perhatian ramai termasuk komuniti peminat pertandingan ratu cantik yang mengiktirafnya sebagai antara peserta paling digemari.


Dalam perkembangan berkaitan, inspirasi motif Baju Impit Livogu turut menjadi antara elemen yang menyumbang kepada kejayaan reka bentuk pakaian Basaan Tinandai Tongingo 2026 yang dinobatkan sebagai johan.


Reka bentuk itu merupakan gabungan empat warisan pakaian tradisional utama daerah Telupid iaitu Impit Telupid, Impit Livogu, Sinudaan dan Rinikos.


Bagi Fauziah, masa depan Baju Impit Livogu tidak terhad kepada pemeliharaan budaya semata-mata, malah berpotensi dikembangkan sebagai produk kreatif dan kraf yang mampu memberi nilai ekonomi kepada masyarakat.


Beliau berkata, terdapat pasangan pengantin yang telah memilih Baju Impit Livogu sebagai pakaian perkahwinan tradisional mereka, termasuk pasangan yang melibatkan rakyat Jepun, sekali gus membuktikan warisan budaya tempatan mampu menembusi sempadan antarabangsa.


“Harapan saya agar Baju Impit Livogu terus berkembang, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Warisan ini perlu terus diwarisi, dihargai dan diperkasakan sebagai identiti masyarakat Dusun Labuk Telupid,” katanya.


Selain dipakai dalam majlis kebudayaan dan sambutan Kaamatan, motif Impit Livogu kini turut diadaptasi ke dalam reka bentuk kontemporari bagi memenuhi keperluan industri kreatif dan kraf tempatan, sekali gus membuka ruang baharu kepada pemeliharaan warisan budaya melalui pendekatan yang lebih moden dan lestari.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page