top of page
Writer's pictureIlona Andrew

Rakyat Sabah alu-alukan pengumuman kebenaran rentas daerah ikut zon


(dari kiri atas) Taylor, Alex dan Stanley. (dari kiri bawah) Nur Syuhada dan Kevin.

28 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Pengumuman mengenai sistem daerah mengikut enam zon mulai 1 Oktober ini selepas sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk lengkap menerima vaksin merupakan satu berita baik buat rakyat Sabah.


Walaupun kes jangkitan Covid-19 masih tinggi, rata-rata mereka berpendapat bahawa kebenaran rentas daerah itu harus dilaksanakan kerana ekonomi dan industri pelancongan negeri sudah semakin tenat.


Seorang petugas barisan hadapan, Taylor Justinus berkata, aktiviti rentas daerah adalah amat disetujui bagi merangsangkan kelangsungan ekonomi rakyat terutamanya dari segi pelancong.


Namun, katanya ada keburukan di samping kelonggaran ini yang cenderung kepada peningkatan kes jangkitan Covid-19 di sesuatu lokaliti.


Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beliau akan menggunakan peluang merentas daerah ini untuk tujuan-tujuan kecemasan dan melawat ahli keluarga dengan mengikuti Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.


“Pelancongan tempatan akan menerima manfaat jika rentas daerah dibenarkan kerana sektor ini adalah yang paling terjejas ketika pandemik ini melanda dan diharap semua kegiatan ekonomi dapat bernafas semula dengan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.


“Seperti yang kita tahu, negara kita akan beralih ke fasa endemik. Namun harus diingat bahawa varian Covid-19 ini akan sentiasa bermutasi dan akan ada varian-varian lain yang lebih ganas yang akan menyerang sekali lagi.

“Bagaimanapun, amalan SOP yang ketat dan penjagaan kebersihan kendiri yang baik akan mengelakan kita daripada dijangkiti penyakit ini,” kata petugas kesihatan yang bekerja di Kota Belud itu.


Taylor turut mencadangkan bahawa Kerajaan Negeri perlu memberikan kemudahan dan latihan kepada pengusaha kecil-kecilan dalam merancakkan lagi perniagaan atas talian serta mempromosikan perniagaan mereka melalui satu platform yang mudah dan ringkas untuk pengusaha dan pelanggan, khususnya di Sabah.


“Sebenarnya, rentas daerah bukanlah perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan sekarang. Apa yang mereka perlu lakukan adalah memastikan kes-kes jangkitan adalah dalam keadaan terkawal serta tidak membahayakan masyarakat mahupun yang sudah divaksin ataupun tidak kerana data menunjùkkan walaupun jumlah yang sedikit, masih ada yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 walaupun sudah lengkap vaksinasi.


“Kerajaan pada masa ini diharap dapat meneliti dan mengkaji terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa SOP agar ia tidak membingungkan rakyat demi kebaikan semua,” ujarnya.


Sementara itu, seorang lagi petugas kesihatan berkata, walaupun rentas daerah akan dibenarkan tidak lama lagi, beliau tidak akan mengambil peluang untuk melancong dalam negeri.


“Saya hanya akan merentas daerah jika perlu. Sebaiknya, kita harus menghadkan pergerakan kita sehingga situasi Covid-19 di Sabah lebih stabil dan lebih 90 peratus penduduk telah menerima vaksin lengkap.

“Bagaimanapun, saya beranggapan bahawa ramai yang akan mengambil peluang ini untuk melancong dan sekaligus ini dapat memanfaatkan industri pelacongan tempatan,” katanya Alexander Punggin, 33, ketika dihubungi Nabalu News.

Tambahnya, penduduk yang terpisah jauh dari ahli keluarga disebabkan amanah dan tanggungjawab kerja boleh mengambil peluang ini untuk balik ke kampung.


Walau bagaimanapun, beliau yang bertugas di Sandakan berkata kemungkinan akan berlaku sedikit lonjakan dalam kes Covid-19 kerana kawalan jangkitan adalah lebih sukar sedikit berbanding sebelum pelaksanaan rentas daerah


Manakala, Alexander berkata, pemimpin harus mengelakan permainan politik dan fokus dalam pemulihan ekonomi bersama bagi menjayakan pelaksanaan ini.


“Kerajaan juga perlu memberi bantuan seperti dana tambahan kepada pengusaha kecil atau peniaga mikro,” cadangnya.


Stanley Stephen yang berasal dari Kota Belud pula berpendapat bahawa arahan larangan merentas daerah sebelum ini telah mengakibatkan ramai orang terkesan dari segi pencarian sumber rezeki dan pasaran yang terhad.


Oleh itu, beliau mengalu-alukan pengumuman kebenaran rentas daerah mengikut sistem zon yang merupakan satu cara untuk memulihkan ekonomi di setiap daerah di mana rakyat.


Beliau berkata, beliau turut akan mengambil peluang ini untuk melawat kedua ibubapa serta adiknya di kampung.

“Dari segi pelancongan dalam negeri, sudah pasti akan mendapat manfaatnya jika rentas daerah dibenarkan kerana orang ramai boleh melawat tempat-tempat pelancongan seperti Desa Farm Kundasang, Gunung Kinabalu, Taman Arnab di Ranau, pulau-pulau dan sebagainya.


“Dengan berjalnanya sektor pelancongan, maka para usahawan homestay dan resort juga akan mempunyai pendapatan hasil dari kunjungan orang ramai di sesuatu tempat tersebut.


“Memang tidak dinafikan Covid-19 ini masih berleluasa di Negeri Sabah. Oleh itu, orang ramai haruslah mematuhi SOP secara ketat semasa melakukan urusan secara bersemuka. Jika kita mengikut SOP yg ditetapkan oleh kerajaan, adalah tidak mustahil kita boleh melenyapkan Covid-19 ini dari bumi Sabah khususnya,” jelasnya.


“Secara keseluruhannya, kebenaran rentas daerah ini akan memperluaskan pasaran dan pendapatan sektor ekonomi Sabah. Peluang pekerjaan juga akan bertambah, boleh melawat keluarga di kampung, menjalankan aktiviti hobi seperti hiking,” tambahnya.


Stanley turut berpendapat bahawa kebenaran rentas daerah dapat memberi manfaar dari segi kebebasan social dan ibadah mengikut SOP.


Beliau turut mencadangkan agar kerajaan dapat memberi bantuan kewangan kepada golongan yg layak dan memerlukan serta memberi subsidi-subsidi yang perlu dalam sektor pertanian, perikanan serta pelancongan bagi mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.


Seorang lagi rakyat Sabah, Nur Syuhada, turut bersetuju dengan pelaksanaan kebenaran merentas daerah mengikut sistem zon mulai 1 Oktober ini selepas sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk lengkap menerima vaksin

Katanya, sudah tiba masanya orang ramai mendapatkan ‘terapi minda’ yang sepatutnya melalui aktiviti pelancongan setelah hampir dua tahun menghadapi pandemik Covid-19.


“Kebenaran merentas daerah sekaligus akan memberi peluang kepada seluruh rakyat yang berniaga terutama sekali kepada industri pelancongan dan peniaga kecil untuk memulihkan semula ekonomi.


“Saya akan menggunakan peluang ini untuk melancong bersama orang yang tersayang kerana bukan sahaja kita boleh melakukan aktiviti rekreasi, tetapi kita juga secara tidak langsung dapat menghidupkan semula industri pelancongan di negeri kita sendiri.


“Pengusaha pelancongan kecil sudah tentu akan mendapat impak yang positif melalui arahan ini kerana mereka sudah lama terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.


Tambah Nur Syuhada, selain aktiviti pelancongan, perniagaan tamu juga perlu dijalankan kerana ini merupakan sumber pendapatan para petani kecil.


“Sudah tentu petani-petani atau pengusaha-pengusaha yang datang dari pelbagai daerah ini gembira dengan kebenaran ini kerana mereka akan dapat menjual hasil mereka kepada orang ramai,” katanya.


Bagi Kevin Noel pula, kebenaran rentas daerah akan menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah untuk mendapatkan vaksin kerana kebanyakkan tempat pelancongan hanya menerima pelawat yang sudah lengkap vaksin.


“Penularan Covid-19 ini sudah tentu susah dikawal tetapi rakyat harus belajar untuk menyesuaikan diri untuk hidup dengan endemik ini, oleh itu rakyat harus mendapatkan vaksin agar dapat bergerak atau melancong ke daerah lain tanpa diselubungi kerisauan.


“Dengan kebenaran rentas daerah ini, selain memulihkan ekonomi negeri dari segi pelancongan, penduduk Sabah juga dapat menikmati keunikan daerah-daerah lain setelah sekian lama tidak dapat merentas daerah.”

Comments


bottom of page