top of page
nabalunews

Ramai berhutang dengan SESB kerana bil tidak betul – Madius

27 Ogos 2024

TUARAN: Bacaan meter elektrik yang tidak tepat menyebabkan pengguna tidak membayar bil dengan betul dan ia dikenal pasti antara sebab ramai yang berhutang dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


Perkara itu didedahkan Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau, yang menekankan pentingnya bacaan meter elektrik dibuat dengan tepat supaya pengguna membayar bil dengan betul bagi mengelak masalah hutang.


Katanya, hutang memberi impak besar bukan sahaja kepada SESB tetapi juga kepada pengguna keseluruhan kerana kutipan bil yang rendah menghalang usaha syarikat utiliti itu untuk menaik taraf infrastruktur elektrik, lapor Info X.


“Seringkali apabila kita ceritakan mengenai elektrik ia sentiasa dikaitkan dengan kekerapan gangguan bekalan ataupun ‘blackout’. Namun, saya dapati kita jarang berbincang mengenai masalah pembayaran dan bacaan bil.


“Umum mengetahui bahawa pembacaan bil elektrik mungkin tidak tepat jika dilakukan secara anggaran terutamanya apabila meter tidak dapat diakses oleh pembaca bil.


“Kita tidak mahu keadaan ini berterusan kerana ia boleh menyebabkan pengguna tidak membayar bil dengan betul dan ini telah dikenal pasti sebagai salah satu sebab ramai yang berhutang kepada SESB,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya.


Perkongsian itu sempena pelancaran program perintis Bacaan Meter Sendiri atau Self Meter Reading (SMR) yang disempurnakannya di Kiulu, hari ini.


Program itu adalah hasil kerjasama di antara SESB, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat(UPPM) Kiulu dan Pusat Khidmat Parlimen Tuaran.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, dengan adanya kemudahan SMR, pengguna boleh membaca meter elektrik mereka sendiri dan menyerahkan bacaan kepada SESB melalui aplikasi WhatsApp.


“Ini diadakan bagi memudahkan lagi proses bacaan bil elektrik yang bukan sahaja lebih tepat tetapi juga lebih efisien dan mesra pengguna.


“Marilah kita berganding bahu, mengamalkan budaya yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaan tenaga elektrik dan memastikan bahawa setiap tindakan kita hari ini akan membawa kebaikan yang berterusan kepada generasi akan datang,” katanya.


Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

تعليقات


bottom of page