top of page

Remaja buat aksi Wheelie dalam lumba haram ditangkap polis

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Polis Cawangan Trafik IPD Tawau menangkap remaja lelaki disyaki terlibat aktiviti lumba haram di Jalan Chong Thien Vun
Polis Cawangan Trafik IPD Tawau menangkap remaja lelaki disyaki terlibat aktiviti lumba haram di Jalan Chong Thien Vun

15 Mei 2025


TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki membuat aksi Wheelie ketika aktiviti lumba haram di Jalan Chong Thien Vun minggu lalu membawa padah apabila berjaya ditahan polis, semalam.


Penahanan itu susulan video berdurasi sembilan saat tular yang memaparkan beberapa motosikal berlumba di jalan berkenaan.


Malah, remaja yang berusia 17 tahun terbabit turut dirakam menunggang laju sambil melakukan aksi Wheelie sebelum terbabas sendiri dan melambung di atas jalan.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Cawangan Trafik pada jam 3 petang di perkarangan IPD Tawau.


Katanya, penahanan remaja itu dilakukan untuk siasatan selepas disyaki terlibat dalam rakaman video berkenaan.


“Polis turut merampas motosikal jenis Yamaha 125ZR dan helmet merah yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.


“Rampasan dilakukan di sebuah rumah di Tanjung Batu Laut selepas ditunjuk arah oleh remaja itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati, remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan menggunakan motosikal yang dipinjam dari kawannya pada malam kejadian.


Katanya, polis akan meneruskan siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu memandu dengan melulu dan membahayakan serta Seksyen 26(1) APJ 1987

(tidak memiliki lesen memandu) dan Seksyen 90(1) iaitu tidak dilindungi insuran.


Sementara itu, Jasmin berkata, polis sebelum ini terkesan rakaman video berkenaan dan siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam pada Sabtu lalu.


Katanya, video itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal sedang melakukan aktiviti lumba haram dan salah seorang daripadanya dirakam melakukan aksi Wheelie sebelum terbabas.


"Akibat kemalangan berkenaan, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kaki, buku lali dan tangan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran,"katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page