Remaja lelaki 15 tahun antara ditangkap rogol remaja perempuan dilapor hilang
- nabalunews
- Aug 28, 2024
- 1 min read

28 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang remaja lelaki, 15, antara tiga suspek ditahan polis kerana disyaki merogol remaja perempuan, 15, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, sebelum ditemui selamat di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek berumur di antara 15 hingga 29 tahun itu ditangkap susulan keterangan mangsa yang mendedahkan dia dirogol tiga lelaki dikenalinya.
Katanya, mangsa memaklumkan perkara itu semasa memberi keterangan di Balai Polis Tawau pada jam 3 pagi.
"Semua suspek yang ditahan semalam, kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (Rabu) sehingga 4 September depan.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol yang boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, tular seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Jumaat minggu lalu.
Kejadian itu disedari kakaknya, 39, yang memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki adiknya apabila tidak pulang rumah sehingga lewat petang, selepas keluar.
Kes kehilangan remaja terbabit mendapat liputan luas media.
Dia kemudiannya ditemui selamat pada jam 1 pagi di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, semalam.
Comments