Remaja maut Terkena Renjatan Elektrik
- nabalunews
- Apr 18
- 1 min read

18 April 2025
KOTA MARUDU: Aktiviti memanah ikan seorang remaja bersama tiga rakannya di sungai Kampung Minansad, di sini, berakhir tragedi apabila mangsa meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, hasil siasatan awal, mangsa memaklumkan kepada bapanya bahawa dia bersama tiga rakan pergi ke lokasi berkenaan untuk memanah ikan.
Katanya, jarak antara rumah mangsa dengan lokasi kejadian adalah sejauh kira-kira satu kilometer.
“Sejam selepas itu, salah seorang rakan mangsa datang ke rumah dan memberitahu keluarga mangsa mengenai kejadian berkenaan.
“Pelajar tingkatan tiga itu dikatakan terkena renjatan elektrik ketika berada di dalam sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Simiun berkata, bapa mangsa terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa masih berada di dalam sungai dalam keadaan kabel elektrik berada di tangannya.
Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui apa-apa kesan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
"Mangsa kemudian diangkat keluar dari sungai oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Kota Marudu.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, kes diklasifikasiksn sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Commentaires