Remaja Perempuan Maut Tersepit Dalam Kenderaan
- nabalunews
- Aug 29, 2025
- 1 min read

29 Ogos 2025
LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan maut selepas dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dalam kemalangan berhampiran bulatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, remaja berusia 19 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.42 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dan dua daripadanya iaitu mangsa lelaki keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Seorang mangsa perempuan tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas RTA (Telescopic Ram),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua lago mangsa dihantar ke hospital menaiki Ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.48 pagi,” katanya.















Comments