top of page

RM2.8 bilion disediakan selenggara jalan persekutuan – PM Anwar

  • nabalunews
  • Oct 18, 2024
  • 1 min read
Gambar hiasan Bernama

18 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion untuk kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, bertujuan mengurangkan kes kemalangan yang berpunca daripada keadaan jalan yang tidak selamat.


Hal ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan meningkatkan kualiti infrastruktur jalan di seluruh negara.


Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan khusus untuk pembaikan segera jalan-jalan bukan utama. Ini termasuk jalan-jalan sekunder, jalan FELDA, jalan perindustrian, serta jalan-jalan yang mengalami kerosakan akibat bencana seperti banjir untuk memastikan akses yang selamat dan lancar di kawasan-kawasan yang terjejas.


“RM450 juta juga dikhaskan untuk kontraktor G1-G4, meningkat ketimbang (berbanding) RM300 juta tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.


Sementara itu bagi jalan negeri, Anwar berkata sejumlah RM5.5 bilion dana MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya) disediakan dan kerja pembersihan jalan juga ditambah baik meliputi longkang, saliran air, bahu jalan dan persekitaran sehingga selamat digunakan, lapor Bernama.


“Kerajaan telah meluluskan perolehan sebuah jambatan sementara Bailey kepada semua kerajaan negeri menggunakan peruntukan MARRIS tahun 2025 sebagai persediaan awal kerajaan negeri bagi menangani masalah jalan terputus akibat bencana banjir,” katanya.


Selain itu Anwar berkata RM178 juta diperuntuk bagi memasang lampu-lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara.


“Sejumlah RM30 juta disediakan untuk terus memanfaat peranan 115 Jurutera Daerah sebagai barisan hadapan dalam menyegerakan penurapan Jalan Persekutuan yang berlubang.


“Kerajaan bersetuju memasang High Speed Weight in Motion di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya disebabkan kenderaan lebih muatan,” katanya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page