RM3.9 Juta Peningkatan Hasil Jualan Bukti Keberkesanan Program Bimbingan INSKEN Di Sabah
- nabalunews
- Nov 16, 2025
- 2 min read

16 November 2025
KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus memperkukuh pembangunan usahawan di Sabah melalui pelaksanaan empat Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan satu Program INSKEN Mini Coaching (Pembangunan Produk) sepanjang tahun 2025.
Program itu berjaya merekodkan peningkatan hasil jualan mencecah RM3.9 juta, selain mewujudkan 128 peluang pekerjaan baharu melalui penyertaan usahawan IBBC.
Bagi Program INSKEN Mini Coaching (Pembangunan Produk), sebanyak 95% peserta berjaya menambah baik produk atau perkhidmatan melalui elemen penjenamaan, pembungkusan, penentuan harga dan standard kualiti.

Secara keseluruhan, seramai 119 usahawan daripada sektor Homestay (Ekopelancongan), Kiosk Vendor, serta Kafe & Restoran telah mencatatkan peningkatan hasil.
Program itu turut menyaksikan 20 usahawan berjaya melonjak daripada kategori mikro kepada kecil, selari dengan aspirasi KUSKOP untuk meningkatkan keupayaan perusahaan tempatan.
INSKEN juga memastikan setiap perbelanjaan pembangunan keusahawanan memberi impak optimum kepada ekonomi negara.

Di Sabah sahaja, program bimbingan INSKEN berjaya menjana pulangan RM6.10 bagi setiap RM1.00 yang dibelanjakan, menunjukkan keberkesanan intervensi yang dilaksanakan.
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pencapaian positif usahawan menerusi program bimbingan INSKEN membuktikan bahawa pendekatan berteraskan coaching mampu meningkatkan daya saing perniagaan serta hasil jualan secara mampan.
Katanya, KUSKOP komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara agar lebih ramai usahawan dapat berkembang daripada skala mikro kepada kecil dan sederhana.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Puan Viviantie Sarjuni, berkata selain peningkatan jualan, program bimbingan turut membuka ruang kepada usahawan tradisional untuk meneroka model perniagaan sosial yang memberi manfaat bukan sahaja kepada keuntungan, tetapi juga kepada komuniti.
Katanya, menerusi penganjuran Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, INSKEN turut membantu usahawan memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan generasi ke generasi.
“Pada majlis tersebut, peserta terbaik IBBC bagi setiap industri turut diumumkan. Antara pencapaian tertinggi ialah Mohd Hafiz Abdullah, peserta Program IBBC Homestay (Ekopelancongan) merangkap penerima Geran Sejati MADANI, yang merekodkan 447 peratus peningkatan hasil jualan selepas membangunkan pakej pelancongan berasaskan komuniti di Kudat.
“Bagi Program INSKEN Mini Coaching (Pembangunan Produk), Izhan Nasriq Imran dipilih sebagai peserta terbaik selepas berjaya menambah baik strategi harga, margin keuntungan, pembungkusan dan kualiti produk sehingga mencapai 361 peratus peningkatan hasil jualan,” katanya.
Dalam pada itu, INSKEN turut menjalinkan kerjasama bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah dalam menjayakan inisiatif bimbingan berkenaan.
INSKEN sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan agensi serta organisasi lain bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui latihan dan bimbingan yang berimpak tinggi.
Maklumat lanjut mengenai program keusahawanan boleh diperoleh melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my serta platform media sosial rasmi INSKEN.















Comments