top of page

RM40 Bilion Nilai Projek Dikendalikan JKR Sabah – Ahmad Maslan

  • nabalunews
  • Oct 7, 2024
  • 2 min read

7 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah kini mengendalikan sejumlah 488 projek daripada pelbagai kementerian, termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, dengan nilai keseluruhan projek mencecah RM40 bilion.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada 488 projek yang dikendalikan, sebanyak 200 projek berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), diikuti oleh 41 projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 47 projek yang diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).


Keseluruhan kos bagi kesemua projek ini dianggarkan bernilai RM13 bilion.


Sementara itu, projek berprofil tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B bernilai RM26.6 bilion.


"Jika kita campurkan nilai RM13 bilion dengan RM26.6 bilion, jumlah keseluruhan projek yang dikendalikan oleh KKR, Kementerian Kewangan, dan JKR Sabah adalah sekitar RM40 bilion. Ini adalah untuk manfaat rakyat Sabah," kata Ahmad.


Projek di bawah KPM kebanyakannya melibatkan pembinaan sekolah-sekolah baharu dan pemulihan sekolah daif dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM1.71 bilion.


Manakala, projek-projek di bawah KKDW melibatkan pembinaan jalan kampung dan jalan perhubungan desa yang bernilai RM5.04 bilion.


Selain itu, Ahmad turut memaklumkan bahawa projek di bawah KKR melibatkan pembinaan jalan raya, jambatan, dan bangunan, dengan nilai keseluruhan RM5.78 bilion.


Projek di bawah KKM pula tertumpu kepada pembinaan klinik dan hospital dengan nilai RM0.43 bilion.


Menyentuh mengenai perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Ahmad menggesa agar pelaksanaan Fasa 1B mempelajari daripada kelewatan dan masalah yang dihadapi dalam Fasa 1A untuk memastikan kejayaan projek.


Katanya pihak JKR Sabah juga disaran mengambil contoh daripada pengalaman JKR Sarawak yang kini telah menyelesaikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan kadar siap 99 peratus.


Setakat ini, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1A telah mencapai 79 peratus siap, dengan jangkaan penyelesaian pada akhir 2025 atau awal 2026.


Sementara itu, Fasa 1B baru sahaja memulakan proses penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlibat.


Ahmad menekankan bahawa setiap projek yang sedang dilaksanakan ini amat penting untuk pembangunan infrastruktur negeri Sabah dan akan membawa impak positif yang besar kepada kesejahteraan rakyat negeri ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page