RM491,413.76 Rampasan, 20 PATI Ditahan: ESSCOM Tumpaskan Perniagaan Haram Pelancongan Di Semporna
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
13 Mac 2026
SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama 20 agensi penguat kuasa menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas pelbagai barangan dan mengeluarkan kompaun bernilai RM491,413.76 dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna pada 10 dan 11 Mac 2026.
Operasi yang melibatkan 231 pegawai dan anggota itu menyaksikan pemeriksaan terhadap 41 buah resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna, termasuk penempatan setinggan dan kampung. Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai kesalahan membabitkan pelanggaran undang-undang imigresen, buruh, perniagaan, keselamatan kebakaran, kastam, hidupan liar serta kebersihan makanan.
Kesemua 20 individu yang ditahan merupakan warga Filipina dan Republik Rakyat China, dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Antara rampasan terbesar membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menyita minuman keras tanpa lesen bernilai RM20,153.76 termasuk cukai, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas daging penyu dan babi hutan bernilai RM3,260 yang dipercayai melanggar Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan 41 kompaun di bawah Akta Kerja 1955, manakala Majlis Daerah Semporna mengenakan 19 kompaun pelbagai kesalahan perniagaan di bawah Local Government Ordinance 1961. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut mengeluarkan 30 notis pelanggaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988 berkaitan kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran di premis.
Operasi ini dilaksanakan susulan aduan awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti perniagaan pelancongan secara tidak sah tanpa lesen di sekitar Semporna. Ia juga merupakan tindakan penguatkuasaan susulan terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri mengenai penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial oleh warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan di Zon Selamat Sabah Timur.

Menurut Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Victor Sanjos, kejayaan operasi ini membuktikan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan mampu memperkukuh keselamatan dan ketenteraman di kawasan tersebut. Beliau menegaskan bahawa misi 'Tiada Hari Tanpa Operasi' akan diteruskan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal terpelihara.
ESSCOM merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pelbagai jabatan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan atas kerjasama padu dalam menjayakan operasi ini.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.















Comments