top of page

RM624.7 Juta Perkukuh Bekalan Air Tuaran

nabalunews
58 minutes ago
3 min read

KUALA LUMPUR, 9 Okt - Kerajaan Persekutuan meluluskan dua projek bernilai RM624.7 juta bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan liputan sistem bekalan air di daerah Tuaran, Sabah.


Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad berkata projek berkenaan melibatkan penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 serta kerja pemasangan paip utama dan paip agihan.


Beliau berkata penambahan kapasiti LRA Telibong 2 Fasa 1 daripada 80 juta liter sehari (JLH) kepada 160 JLH, termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan, telah siap pada 23 Julai 2025.


"Manakala pemasangan paip utama dan pemasangan paip agihan LRA Telibong 2 Fasa 2 telah dikeluarkan Surat Setuju Terima pada 5 Okt 2026 dengan nilai RM195.5 juta," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.


Madius meminta kerajaan menyatakan pelan bersama Kerajaan Sabah untuk menamatkan masalah catuan dan gangguan bekalan air di Tuaran, termasuk projek, peruntukan, sasaran Air Tidak Berhasil (NRW), margin rizab serta tarikh semua kampung menerima bekalan air terawat.


Mengenai margin rizab bekalan air, Abdul Rahman berkata kadar semasa di Sabah adalah 1.81 peratus, berbanding julat ideal antara 10 dan 15 peratus yang disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).


"Untuk meningkatkan kadar margin rizab di Sabah, Jabatan Air Sabah kini sedang melaksanakan empat pembinaan loji rawatan air baharu serta menaik taraf LRA sedia ada," katanya.


Beliau berkata usaha meningkatkan margin rizab bekalan air perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kapasiti bekalan dapat memenuhi keperluan pengguna.


Mengenai NRW pula, Abdul Rahman berkata berdasarkan rekod 2025, kadar NRW negeri Sabah ialah 59.6 peratus.


"Pelaksanaan pengurangan NRW juga sebenarnya akan membantu meningkatkan kadar margin rizab bekalan air," katanya.


Beliau berkata tiga projek telah siap dilaksanakan di Sabah di bawah Program NRW Pendekatan 1 Fasa 1 dengan peruntukan sejumlah RM87.2 juta dalam bentuk geran.


"Sebagai kesinambungan, PETRA akan melaksanakan Program NRW Pendekatan 1 Fasa 2 yang bermula pada 2025 hingga 2030, melibatkan program penggantian paip kritikal dan penyelesaian NRW secara holistik," katanya.


Menurutnya, pelaksanaan program itu turut merangkumi pembentukan District Metering Zone (DMZ), Pressure Management Area (PMA) dan Active Leakage Control (ALC).


Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata penetapan tarikh khusus bagi memastikan semua kampung menerima bekalan air terawat memerlukan perancangan terperinci oleh pihak Jabatan Air Sabah.


"Ini mengambil kira faktor kapasiti loji, ketersediaan sumber air, rangkaian sistem bekalan air yang baik serta kecukupan peruntukan kewangan," katanya.


Beliau berkata pengurusan operasi dan perancangan infrastruktur bekalan air di Sabah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menerusi Jabatan Air Sabah, selaras dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.


"Kerajaan Persekutuan kekal komited menyokong usaha ini menerusi saluran peruntukan pembangunan Persekutuan dalam bentuk pinjaman dan geran," katanya.


Dalam soalan tambahan, Madius meminta penjelasan mengenai lokasi projek-projek bekalan air yang sedang dilaksanakan.


Menjawab perkara itu, Abdul Rahman berkata antara projek berkenaan ialah Sistem Bekalan Air Lahad Datu Fasa 1 bernilai RM270 juta.


"Turut dilaksanakan ialah penambahan kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon daripada 40 JLH kepada 80 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan dengan nilai RM379.6 juta," katanya.


Beliau berkata projek lain termasuk pembinaan LRA Cinta Mata 2 di Tawau, Sabah, bernilai RM335 juta.


"Selain itu, terdapat projek menaik taraf LRA Kasigui bagi bekalan air daerah Putatan dan menaik taraf muka sauk di LRA Beaufort 2 termasuk kerja-kerja berkaitan dengan nilai RM69.6 juta," katanya.


Abdul Rahman berkata secara keseluruhannya, nilai projek yang dinyatakan dalam jawapan berkenaan adalah kira-kira RM1.054 bilion.


Beliau turut memaklumkan bahawa projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan PETRA yang telah diperoleh bagi negeri Sabah melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.39 bilion.


Katanya, Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha meningkatkan sistem bekalan air di Sabah melalui peruntukan pembangunan Persekutuan dalam bentuk pinjaman dan geran.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page