Rumah artis Murut terbakar
12 November 2024
NABAWAN: Keluarga artis Murut Marais Palanuk yang dikenali dengan lagu "Tapi Linantian" tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Sepulut pada malam Sabtu.
Marais yang ditemui selepas kejadian itu berkata, semua harta benda dalam rumah termasuk enjin sangkut bot musnah sama sekali.
"Semasa kebakaran berlaku kami tidak berada di rumah kerana menghadiri majlis keagamaan dan pada malam kejadian kami menginap di rumah adik saya Henry Palanuk berhampiran tempat majlis" katanya.
Jelasnya, ada juga jiran yang melihat kepulan asap sebelum api merebak tetapi mereka tidak dapat menghubungi kami kerana semasa kejadian kebetulan ada masalah talian rangkaian di kawasan Sepulut.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Nabawan juga tidak dapat dihubungi kerana masalah talian semasa kejadian.
Walau bagaimanapun katanya, Bomba dan Penyelamat Daerah Nabawan datang pada kesokan harinya (Ahad) untuk membuat penyiasatan dan pengesahan.
Menurut Marais, beliau juga telah membuat laporan polis dan jabatan-jabatan yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama beliau juga berharap agar ada pihak yang memberi bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Comments