top of page
nabalunews

Rumah setinggan di Sembulan akan diroboh: Mayor

11 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan kerja-kerja perobohan rumah setinggan di Kampung Sembulan dalam masa terdekat.


Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pemilik tanah bersetuju dengan tindakan DBKK untuk merobohkan struktur haram yang dibina di kawasan tersebut kerana didapati banyak rumah setinggan yang dibina.


Beliau menjelaskan bahawa rumah-rumah yang akan dirobohkan bukan rumah penduduk yang terlibat dalam Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan, sebaliknya, ia struktur haram yang didirikan di tanah milik penduduk kampung.


“Kami bersama-sama dengan agensi lain akan turut membuat pemeriksaan terhadap penyewa-penyewa yang tinggal di situ kerana kita khuatir ada antara penyewa yang tidak mempunyai dokumen.

“Kita mahu tahu bagaimana mereka menyewa rumah tersebut kerana ada tuan rumah yang tidak tinggal di situ dan tidak tahu rumah mereka disewakan,” katanya selepas sesi libat urus pemilik berdaftar dalam kawasan Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan, di sini pada Selasa.


Beliau berkata, didapati ada juga rumah yang membuat penyambungan struktur haram seperti membuat kedai runcit dan sebagainya.


Sementara itu, mengulas tentang sesi libat urus itu


Datuk Bandar Kota Kinabalu, Dr Sabin berkata, sesi itu adalah untuk memberi penerangan dari segi undang-undang berkenaan isu tanah yang belum dan telah luput tempoh pajakan dan kaedah pengambilan tanah apabila kerajaan berhasrat untuk membangunkan kawasan berkenaan.


Katanya melalui program tersebut pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) telah memberi penerangan dari segi undang-undang mengenai isu pengambilan tanah yang telah luput tempoh pajakan dan tanah-tanah yang masih dalam tempoh pajakan.


Sabin berkata, Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan itu bukan projek baharu tetapi sudah lama dirancang. Jadi, dalam sesi tersebut, DBKK mengambil kira permintaan semua penduduk Sembulan, termasuk mereka yang telah luput tarikh pajakan.


“Cadangan dan permohonan penduduk itu akan kami bawa kepada Kabinet Negeri. Malah, pemilik tanah turut bersetuju agar kawasan ini dibangunkan oleh kerajaan dengan memberi pertimbangan beberapa perkara yang mereka sampaikan tadi.


“Satu perkara yang membanggakan, mereka juga bersetuju dengan tindakan DBKK untuk meneruskan tindakan merobohkan struktur haram yang dibina di kawasan itu, sebab kita dapati terdapat banyak rumah setinggan dibina di kawasan tersebut,” katanya.


Mengulas lanjut, Sabin berkata, antara permohonan yang dikemukakan termasuk mempertimbangkan pampasan lebih tinggi kepada pemilik tanah yang terlibat dalam skim pembangunan tersebut.


Jelas beliau, daripada 168 lot tanah di kawasan itu, 104 lot telah tamat tempoh pajakan manakala 64 lagi masih aktif.


Katanya, maklum balas daripada kerajaan negeri berkaitan Skim Pembangunan Semula itu bergantung kepada keputusan Kabinet, tetapi DBKK berharap perkara tersebut dapat diputuskan pada tahun ini.


Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kampung Sembulan, Osman Omar Khan berharap agar notis pengosongan rumah bertarikh 11 November dapat ditangguhkan sementara menunggu keputusan Kabinet Negeri.


Osman berkata, penduduk asal di situ tidak menghalang pembangunan dilakukan di kawasan berkenaan, namun hak pemilik tanah perlu diberi perhatian.


Sekiranya kerajaan mahu mengambil tanah di situ, kerajaan perlu menilai dengan harga pasaran semasa.


Di samping itu, kerajaan juga perlu menyediakan penempatan sementara kepada penduduk yang telah tamat tempoh pajakan dan terlibat dalam skim pembangunan berkenaan.


“Kebanyakan penduduk di sini dari kalangan B40 maka mereka perlu disediakan penempatan sekiranya tanah yang ada digunakan bagi pembangunan semula.”


Sebelum itu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Sembulan meminta supaya kerajaan menangguhkan sementara waktu rancangan merobohkan struktur rumah di kawasan kampung tersebut yang dijadualkan pada 11 November depan.


Osman berkata, pertemuan itu antaranya adalah meminta pihak DBKK memberi perhatian mengenai tindakan perobohan melalui notis yang dikeluarkan kepada penduduk pada 19 September lalu.


"Kita ada tekankan mengenai tarikh 11 November itu supaya diberi perhatian, jangan tergesa-gesa untuk merobohkan.


Perkara itu disampaikan menerusi satu pertemuan dalam sesi libat urus antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama pemilik lot tanah Sembulan yang berdaftar dalam kawasan skim pembangunan semula bandar Sembulan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.


"Tadi Datuk Bandar akan berjanji akan bertemu dengan Ketua Menteri untuk menghalusi perkara ini dan akan kembalikan jawapannya kepada kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus tersebut.


Berkongsi lanjut mengenai apa cadangan daripada penduduk yang dikemukakan dalam sesi tersebut, Osman mahu hak pemilikan tanah perlu diberi perhatian dengan mengambil kira situasi menang-menang antara kedua pihak.


"Melalui memorandum yang kita hantar, pertama kita sangat mengalu-alukan pembangunan, cuma kita mahu Sembulan berwajah baru dan yang paling penting, hak memiliki tanah itu perlu diberi perhatian, diberi keutamaan.


"Maksudnya, kalau kerajaan mahu mengambil tanah kita, kerajaan perlu menilai dengan harga pasaran pada hari ini," katanya.


Jelasnya lagi, setakat ini semua pemilik tanah lot bersetuju pembangunan diwujudkan namun dengan syarat hak kesemua pemilik tidak diabaikan.


"Saya telah berbincang dengan penduduk dalam beberapa pertemuan dan saya diwakilkan bahawa mereka bersetuju.


"Sekiranya menang-menang bersama itu boleh diwujudkan, tidak ada halangan untuk bersetuju pembangunan diwujudkan dan untuk Sembulan berwajah baru itu perlu diwujudkan.


"Sebab kita tidak mahu Sembulan hilang daripada peta Kota Kinabalu ini. Penduduk kampung tidak akan bersetuju sekiranya Sembulan hilang daripada peta Kota Kinabalu," katanya.


Difahamkan kira-kira 1.5 hektar tanah di kawasan Sembulan akan dibangunkan semula menerusi projek yang dilaksanakan DBKK.

Comments


bottom of page