top of page

Sabah capai 94 peratus saringan pendengaran bayi, lepasi sasaran KKM

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

18 April 2026


KOTA KINABALU: Sabah mencatat pencapaian memberangsangkan apabila 94.45 peratus bayi baharu lahir berjaya menjalani saringan pendengaran pada tahun 2025, melepasi sasaran 85 peratus yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abdul Kahar Abdul Asis berkata pengesanan awal serta intervensi tepat pada masanya amat penting bagi mencegah masalah komunikasi dan pembelajaran jangka panjang dalam kalangan kanak-kanak.


“Usaha juga dipertingkatkan termasuk permohonan tambahan peralatan bagi memastikan setiap bayi dapat menjalani saringan sebelum discaj dari hospital.


“Walaupun berdepan cabaran seperti faktor geografi, logistik dan prasarana, petugas kesihatan kekal komited memastikan perkhidmatan ini dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian World Hearing Day 2026, di sini, Jumaat.


Menurutnya, perkhidmatan audiologi di Sabah ketika ini tertumpu di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Tawau serta Hospital Sandakan.


Sementara itu, Ketua Bidang Audiologi Sabah, Sitti Ladyia Mohd Salleh berkata pelaksanaan program Universal Newborn Hearing Screening membolehkan pengesanan awal masalah pendengaran dalam kalangan bayi seawal kelahiran menerusi penggunaan teknologi saringan khusus.


“Bayi yang gagal saringan akan dirujuk untuk menjalani ujian diagnostik oleh pegawai audiologis bagi pengesahan lanjut.


“Terdapat 33 audiologis di negeri ini merangkumi sektor kerajaan, swasta dan pendidikan, namun hanya 16 ditempatkan di hospital kerajaan,” katanya.


Dalam pada itu, Pakar Otorinolaringologi (ORL), Dr Charlene Patricia Malakun menjelaskan saringan awal amat penting bagi memastikan perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak tidak terjejas.


Tambahnya, bayi perlu dikesan seawal mungkin dan intervensi perlu dilakukan sebelum usia tiga hingga empat tahun bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap perkembangan bahasa.


“Antara tanda awal masalah pendengaran termasuk bayi tidak memberi respons terhadap bunyi kuat serta tidak menunjukkan perkembangan pertuturan yang normal.


“Intervensi seperti implan koklea boleh dilakukan bagi kes tertentu sebagai kaedah pemulihan pendengaran melalui pembedahan mikro yang kompleks, namun berkesan jika dilaksanakan lebih awal,” katanya.


Sebagai kesinambungan usaha berkenaan, Program Kumpulan Sokongan Ibu Bapa bagi Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran turut diadakan sebagai ruang sokongan kepada ibu bapa berkongsi pengalaman serta meningkatkan kefahaman mengenai anak berkeperluan khas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page