Sabah catat hampir 1 juta pelancong bagi lima bulan pertama, sasar 2.2 juta tahun ini Sabah catat hampir 1 juta pelancong bagi lima bulan pertama, sasar 2.2 juta tahun ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah catat hampir 1 juta pelancong bagi lima bulan pertama, sasar 2.2 juta tahun ini


7 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong dari dalam dan luar negara tahun ini, dengan pendapatan pelancongan dijangka mencapai RM4.1 bilion.


Ini adalah selepas negeri itu mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 988,680 pengunjung iaitu 77.1 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka tersebut menunjukkan bahawa sektor pelancongan di Sabah terus berkembang pesat.


Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk memulihkan dan memajukan sektor pelancongan melalui pelbagai program dan inisiatif.


"Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah," katanya.


Beliau berkata ini sempena Pelancaran Festival Sandakan 2023 di Padang Bandaran Sandakan pada Sabtu malam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri, Datuk Seri Jeffrey G. Datuk Kitingan.


Hajiji berkata, Festival Sandakan 2023 bertemakan "Jom Jelajah Sandakan" adalah salah satu usaha untuk menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah, selepas pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lalu.


Beliau berkata, Sandakan mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik, seperti Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu.


"Sejak Januari hingga Jun 2023, seramai 56,794 orang membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa yang datang ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok," katanya.


Beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan untuk bekerjasama agar menjadikan Sandakan sebagai destinasi pilihan ramai.


Beliau juga menggesa Majlis Perbandaran Sandakan dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan di daerah itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page