Sabah FC Sedia Tempur Final Kedua MFL Challenge Cup
- nabalunews
- Apr 19
- 2 min read

19 April 2026
KOTA KINABALU: Aksi final kedua MFL Challenge Cup dijangka berlangsung sengit apabila Sabah FC dan Penang FC masing-masing tampil dengan keyakinan tinggi menjelang perlawanan penentuan.
Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, pasukannya kini berada dalam momentum positif dengan kembalinya beberapa pemain utama selepas berdepan masalah kecederaan sebelum ini.
Katanya, pasukan bimbingannya sudah melakukan analisis terhadap aksi final pertama dan kini lebih bersedia serta seimbang untuk menghadapi perlawanan kedua.

“Kami tahu apa yang perlu diperbaiki dan pemain sedang bekerja keras untuk memastikan prestasi lebih baik,” katanya.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Likas dijangka berlangsung dalam suasana meriah dengan lebih 11,000 tiket telah terjual setakat ini.
Juan turut menegaskan bahawa sokongan penyokong akan menjadi faktor penting dalam memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Sementara itu, kapten Sabah FC, Dominic Tan menyifatkan aksi final ini sebagai peluang terbaik untuk menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri.
“Kami akan memberikan yang terbaik untuk mencapai kejayaan dan menghadiahkan kemenangan kepada penyokong,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memaklumkan persiapan pasukannya berjalan lancar, meskipun sedikit dibayangi kecederaan pemain import, Dylan Wenzel-Halls yang masih menunggu laporan akhir pasukan perubatan.
Beliau bagaimanapun optimis pemain tersebut berkemungkinan dapat diturunkan, sambil menegaskan skuadnya berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk memberikan aksi terbaik.
Mengulas perlawanan pertama di Stadium Bandaraya, Wan Rohaimi berkata pasukannya berjaya mengawal permainan namun gagal menyempurnakan peluang yang terhidang.
“Ini adalah final dan peluang seperti ini tidak datang selalu. Pemain perlu manfaatkan peluang ini dengan aksi terbaik sepanjang 90 minit,” katanya.
Sementara itu, kapten Penang FC, Stefano Brundo menyifatkan perlawanan akhir ini sebagai peluang terbaik buat pasukan menghadiahkan kejayaan kepada penyokong, sambil menegaskan peluang masih terbuka luas termasuk kemungkinan penentuan sepakan penalti.
Dengan kedua-dua pasukan berada pada tahap terbaik, perlawanan akhir ini dijangka sengit dan terbuka, sekali gus menjanjikan aksi yang menarik dan setimpal dengan statusnya sebagai pentas final.















Another useful place for licensed drivers to compare local listings is cdl jobs nashville.