Sabah, peneraju utama pengeluar biji koko
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah, peneraju utama pengeluar biji koko


5 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah merupakan peneraju utama pengeluar biji koko di negara ini dengan memberikan sumbangan sebanyak 57 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara seluas 3,444 hektar.


Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, mengatakan petani koko di negeri ini juga menyumbang kepada pengeluaran biji koko dan coklat premium termasuk coklat Bean-To-Bar, coklat Single Origin, dan Artisanal Chocolate. Antara petani koko yang terkenal di Sabah ialah dari Kota Marudu dan Keningau.


Oleh itu, Siti Aminah, yang juga Ahli Parlimen Beaufort, berharap industri ini akan dikembangkan sebagai satu industri pertanian yang mampu meningkatkan taraf pendapatan harian khususnya kepada petani koko di negeri ini.


"Potensi tanaman koko di negeri ini boleh dimajukan dan dikembangkan lagi, sehubungan dengan itu galakan perlu diberikan kepada pekebun melalui penyelidikan, bantuan serta khidmat nasihat kepada pekebun untuk terus meningkatkan kualiti tanaman koko mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Lembaga Koko Malaysia di Ibu Pejabat (LKM) di sini kemarin.


Ketua Pengarah (LKM), Dr. Ramle Haji Kasin dan Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (LKM), Dr. Ahmad Kamil Haji Mohd Jaafar turut hadir dalam perjumpaan tersebut.


Menurut Siti Aminah, pada tahun 2023, LKM akan melaksanakan projek Tanaman Baharu (TB23) dengan sasaran keluasan 200 hektar di seluruh negara, di mana 100 hektar adalah di Sabah dan 80 hektar di Sarawak dan 20 hektar di Semenanjung.


Dalam pada itu, katanya industri hiliran di Sabah kini terdiri daripada empat syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko serta 34 usahawan coklat tempatan. Pada tahun 2022, nilai jualan usahawan coklat di Sabah adalah sebanyak RM792,351.


"Selaras dengan Pelan Strategi Lembaga Koko Malaysia (PSLKM), saya berharap program pembangunan untuk meningkatkan pengeluaran koko dan kemampanan koko akan terus digerakkan bagi meningkatkan pendapatan petani dan usahawan," katanya.


Tambah, Siti Aminah usaha berterusan daripada LKM akan membantu meningkatkan lagi hasil jualan usahawan dan menambah bilangan pengusaha koko di Malaysia.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page