top of page
Wartawan Nabalu News

Sabah sasar 3 juta pelancong tahun ini


16 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah menetapkan sasaran kehadiran pelancong yang lebih tinggi pada tahun ini, iaitu 3 juta orang, berikutan perkembangan industri pelancongan negeri itu yang memberangsangkan terutamanya tahun lepas.


Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, Sabah telah mencatat pulangan kira-kira RM4.6 bilion menerusi kedatangan lebih kurang 2.5 juta pelancong sepanjang 2023.


"Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) perlu bekerja keras untuk memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.


"Saya telah mendengar perancangan mereka minggu lepas dan saya percaya sasaran itu dapat dicapai," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media Sambutan Tahun Baru Cina 2024 Kerajaan Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.


Beliau berkata, antara perancangan yang akan dilaksanakan STB ialah dengan pergi ke beberapa negara luar bagi mempromosikan pelancongan di Sabah dan negara berkenaan juga telah dikenal pasti.


"Kementerian juga akan menganjurkan pelbagai program termasuk Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H). Program ini dapat menarik minat pelabur dan pelancong untuk datang ke Sabah.


"Kita berharap pelancong golongan atasan berpindah ke Sabah dan mewujudkan manfaat ekonomi di negeri ini," tambahnya.


Sementara itu, beliau berkata, rumah terbuka Tahun Baru Cina 2024 Kerajaan Sabah akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 10 Feb ini.


"Pelbagai acara akan diadakan pada sambutan itu yang bermula 11 pagi hingga 2 petang. Kita jangkakan 10,000 pengunjung akan hadir," katanya.



Comments


bottom of page