Sabah tegas tuntut hak pemberian khas 40 peratus: Masidi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah tegas tuntut hak pemberian khas 40 peratus: Masidi


18 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tidak sama sekali berkompromi atau menyerahkan haknya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian khas 40 peratus hasil bersih yang Persekutuan dapati dari Sabah.


Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata perkara ini perlu dijelaskan secara menyeluruh sebagai menjawab dakwaan tidak berasas bahawa Kerajaan Negeri telah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.


Beliau berkata penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta (meningkat daripada RM26.7 juta) dinyatakan dengan tegas tanpa menjejaskan semua hak Negeri.


"Secara khusus, tertakluk kepada hak Negeri untuk bersandar kepada formula sedia ada dan persetujuan untuk meneruskan rundingan selanjutnya dengan Kerajaan Persekutuan. Oleh kerana perbezaan tafsiran dan kuantum maka kami bersetuju untuk tidak bersetuju," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau memberi penjelasan itu berikutan dakwaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini yang antara lain mengatakan tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini terhapus dengan penerimaan pemberian khas RM125.6 juta tahun lalu.


Masidi berkata, sebagai syarat lanjut kepada pengaturan sementara, Negeri secara nyata berhak untuk menuntut apa yang patut bagi ketidaksempurnaan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula perlembagaan setiap lima tahun sejak 1974.


“Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan selepas rundingan maka kita akan merujuk perkara ini kepada penilai bebas seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.


“Kami menegaskan bahawa susunan perlembagaan bagi Sabah ini dinyatakan secara jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27.02.1963 dan merupakan pengaturan perkongsian hasil yang dipersetujui antara Negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963.


“Tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah ini,” katanya.


Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan sentiasa menjunjung hak perlembagaan Negeri.


“Kami sangat mengetahui perkara yang dipertaruhkan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan tinggi orang ramai.


“Undang-undang tertinggi negara mesti dihormati dan kami yakin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan mencapai penyelesaian yang adil dan saksama bagi isu yang telah lama tertunggak ini secepat mungkin,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page