SAGA XI: Sandakan Juara Keseluruhan Acara Olahraga SAGA XI 2025
- nabalunews
- 12m
- 1 min read

17 Oktober 2025
TAWAU: Pasukan dari Daerah Sandakan muncul juara keseluruhan acara olahraga Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 selepas berjaya mengutip sembilan pingat emas dan dua gangsa.
Atlet mereka juga berjaya mencipta dua rekod baharu dalam acara 200m lelaki dan 4x400m lelaki.
Daerah Tambunan di tempat kedua dengan empat pingat emas, empat perak dan satu gangsa, manakala Putatan di tempat ketiga dengan tiga emas, dua perak dan lima gangsa.
Atlet Sandakan, Pengiran Aidil Auf Hajam @ Pg Roslie, menjuarai acara 200m lelaki selepas memecahkan rekod baharu dengan catatan masa 21.49 s, mengatasi rekod terdahulunya iaitu 21.97 s.
Pangiran turut membantu pasukan Sandakan mencipta rekod baharu dalam acara 4x400m lelaki dengan catatan masa 3:22.86 s bersama rakan sepasukan, Dexter Palmin, Mukhriz Ameer Izzuddin Abdul Rauf dan Muhammad Fareez Adam Mohammad.
Sandakan terus cemerlang hari keempat pertandingan apabila Siti Norjahera Beliamor memenangi pingat emas dalam acara 200m wanita, manakala pasukan 4x400m wanita itu yang diwakili Shermia Miasin, Nur Aziqah Sapri, Marshandah Nurmaizanah Mohd Masri dan Siti Norjahera turut meraih emas.
Sementara itu, atlet Tambunan, Febian Vitus, memecahkan rekod baharu dalam acara rejam lembing dengan jarak lontaran 54.59m untuk meraih pingat emas. Atlet Kota Kinabalu, Mery Ann Paul John Jomitin, pula memenangi emas dalam acara lontar peluru dan atlet dari Kudat, Abby Allysca Lausin, menjuarai acara lompat kijang.
Bagi acara 3,000m lari berhalangan, pingat emas dimenangi oleh Asamlie Datu Johny dari Kinabatangan.
Dalam pada itu, anugerah khas bagi acara olahraga Olahragawati diberikan kepada Nur Syifa Raisya Adnan Firdaus dari Kota Belud, manakala Olahragawan disandang oleh Dexter Palmin dari Sandakan.
Comments