SAN Apas Balung perintis pendidikan agama berteraskan AI
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

1 Februari 2026
TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai perintis dalam pembangunan pendidikan agama di Sabah, dengan penekanan terhadap penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seiring perkembangan kemajuan digital semasa.
Beliau berkata, penerapan teknologi itu menunjukkan institusi pendidikan agama juga mampu bergerak seiring dengan perubahan zaman tanpa menjejaskan nilai dan asas pendidikan Islam.
"Saya tertarik hati, ini sekolah agama yang pertama menggunakan AI, ia sangat menarik.

“Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang ini, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa, tapi di sekolah agama juga,” katanya ketika merasmikan SAN Apas Balung di Taman Sawit, Balung, di sini pada Ahad.
Menurut Hajiji, SAN Apas Balung berjaya disiapkan dalam tempoh hanya tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai langkah awal, sebelum disusuli bantuan kerajaan negeri bagi membesarkan sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga menyokong cadangan pengurusan sekolah itu untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan pendidikan agama yang diikuti oleh pelajarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyokong cadangan pihak pengurusan sekolah untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan pendidikan agama kepada pelajar lepasan sekolah rendahnya.
"Ianya satu cadangan yang cukup baik kerana bagi kita sekolah menengah agama perlu diperluaskan lagi atau ditambah lagi bilangan di Sabah kerana keperluan masyarakat Islam amat tinggi untuk belajar di sekolah menengah agama.
“Jadi perancangan itu cukup baik, sekolah menengah dan seterusnya mungkin universiti Islam dan sebagainya," katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib serta Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Sementara itu, Hajiji yang menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Ansar, Taman Sawit Balung, turut menyampaikan sumbangan daripada Bahagian Zakat kepada asnaf yang layak.


















Comments