SAREX AR 2 perkukuh kesiapsiagaan ATM, agensi kerajaan dalam operasi carilamat
- nabalunews
- Oct 5
- 2 min read

5 Oktober 2025
SANDAKAN: Latihan Search and Rescue Exercise Air Region 2 (SAREX AR 2) 2025 yang berlangsung di selama lima hari bermula 29 September lalu di daerah ini berjaya memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama agensi kerajaan dalam melaksanakan operasi carilamat bersepadu.
Menurut kenyataan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebanyak 15 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam latihan tersebut sejajar dengan konsep Whole of Government and Whole of Society (WOGOS) yang menekankan kerjasama erat antara ATM dengan agensi kerajaan lain.
“Latihan tahunan diterajui Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) ini menjadi satu platform menguji tahap kesiapsiagaan dan kemampuan sebenar semua agensi kerajaan terlibat, sekali gus memastikan operasi carilamat dilaksanakan dengan pantas, teratur dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

TUDM memaklumkan, antara aset utama ATM yang digerakkan termasuk pesawat pengangkut C130H dari No 14 Skuadron dan helikopter EC725 dari No 5 Skuadron.
Selain itu,bot penyelamat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut digerakkan.
Menurutnya, antara aspek kritikal yang diuji termasuk kesiapsiagaan aset dan anggota, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), koordinasi antara agensi kerajaan serta keupayaan tindak balas pantas.
“Selain aspek kesiapsiagaan operasi, latihan ini turut memberi impak positif kepada masyarakat setempat dengan kehadiran aset udara TUDM di ruang udara Pantai Timur Sabah sebagai show of presence memperkukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap keselamatan ruang udara negara.
“Ini membuktikan komitmen ATM khususnya TUDM dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” jelas kenyataan itu lagi.
Sempena latihan itu, MAWILUD 2 dan Pangkalan Udara Labuan bersama agensi kerajaan turut menganjurkan Community Relation (COMREL) di Pusat Pemulihan Orang Utan dan Sun Bear Conservation Centre, Sepilok serta Pulau Berhala.
Program tersebut bertujuan memperkukuh hubungan baik dan kerjasama bersama masyarakat setempat, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan dan tanggungjawab ATM dalam menjaga serta mempertahankan kedaulatan negara.


















Comments