top of page

Semua agensi digerakkan bantu mangsa banjir – Hajiji

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

20 Februari 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menggerakkan semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di negeri ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya ketika musibah banjir melanda dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir.


“Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Menurutnya, kerajaan negeri sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada penduduk di kawasan terlibat.


Beliau turut merayu penduduk di kawasan dilanda banjir termasuk di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.


Hajiji menegaskan penduduk perlu mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta tidak mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan nyawa.


Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa banjir dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.


“Di bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.


Setakat tengah hari tadi, seramai 336 mangsa banjir daripada 111 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas, menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page