Sesi libat urus KUSKOP di Sabah dapat sambutan menggalakkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sesi libat urus KUSKOP di Sabah dapat sambutan menggalakkan



30 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sesi Libat Urus Menteri Bersama Persatuan dan Koperasi Peringkat Negeri Sabah yang julung kalinya diadakan di negeri ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada para usahawan tempatan Sabah.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif kementerian itu menganjurkan Sesi Libat Urus adalah sebagai platform kepada persatuan perniagaan, usahawan dan koperasi memberikan pandangan, input dan maklum balas kepada kerajaan.


“Ini akan memudahkan pihak kerajaan menyusun serta merangka program keusahawanan bagi memenuhi keperluan usahawan dan koperasi secara lebih holistik.



“Melalui input daripada pelaksanaan program ini, ianya diharap dapat membantu kerajaan terus memperkasa dan menghasilkan usahawan berdaya saing di pasaran tempatan dan global sejajar dengan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 ke arah peningkatan KDNK Negara,” katanya.


Sesi libat urus itu merangkumi tujuh kluster iaitu Pembiayaan; Francais/ Halal & Pensijilan / Pembangunan Produk; Digital ekonomi/Keusahawanan Sosial; Latihan/ Pembangunan Kapasiti; Akses Pasaran; Fasilitasi Perniagaan bagi Penjaja/Peniaga kecil dan Pembangunan Koperasi.


Berdasarkan rumusan kluster Latihan/ Pembangunan Kapasiti, golongan usahawan mahu agar agensi memperbanyakkan promosi menggunakan media utama dan media sosial.



Ini kerana menurut mereka, banyak program dilaksanakan namun banyak persatuan dan ramai usahawan tidak mengetahuinya.


Para peserta juga mencadangkan supaya polisi atau dasar yang dibentuk tidak perlu berubah secara kerap walaupun berlaku pertukaran kerajaan.


Mereka juga mahu agar lebih banyak kerjasama diantara agensi kerajaan dengan persatuan bagi membolehkan persatuan mengenalpasti usahawan yang benar-benar memerlukan latihan dan agensi boleh merancang siri latihan yang bersesuaian.


Mengenai Kluster Pembiayaan pula, kumpulan itu menerima banyak persoalan berkaitan kemudahan dan insentif pembiayaan yang disediakan oleh KUSKOP dan agensi bagi membantu usahawan terutamanya usahawan mikro, koperasi dan penjaja.



Mereka turut membangkitkan isu karenah birokrasi melibatkan dokumentasi untuk mendapatkan pembiayaan dan menyukarkan para peniaga mikro dan di luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada fasiliti kemudahan internet.


Sehubungan itu antara cadangan para peserta kluster itu ialah kuota pembiayaan khas untuk usahawan Sabah, menyediakan satu platform one stop center, geran latihan kepada usahawan, cadangan agar agensi-agensi KUSKOP yang memberi pembiayaan membuka cawangan di kawasan pedalaman Sabah.


Bagi Kluster Digital Ekonomi dan Keusahawanan Sosial (SE), antara isu dan cabaran yang dikemukakan ialah kesedaran mengenai model keusahawanan sosial, jangkauan program yang terhad, kurangnya bantuan atau fasilitasi khusus kepada SE dan keterlihatan/ akses pasaran produk/ perkhidmatan yang terhad.



Oleh itu antara cadangan penyelesaian mereka ialah memperbanyakkan program kesedaran di semua peringkat masyarakat, mewujudkan dan memperkasakan komuniti SE dalam kalangan masyarakat mengikut lokaliti serta komuniti itu diperuntukkan bajet untuk melaksanakan aktiviti.


Selain itu para peserta turut mencadangkan agar duta SE dilantik sebagai pemangkin mencetuskan minat belia menceburi bidang keusahawanan sosial.



bottom of page