- Wartawan Nabalu News
Shafie cadang gabungan penerbangan Sabah, Sarawak dan Brunei

11 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebuah gabungan industri penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam dicadangkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai salah satu cara menurunkan kos tiket penerbangan yang melambung tinggi.
Beliau berkata, cadangan itu telah dibawa ke perhatian Sultan Brunei semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.
"Semasa kita kerajaan, saya telah perhalusinya malah saya telah berbincang dengan Sultan Brunei di mana Hornbill Skyways Sdn Bhd (Sarawak), Royal Brunei Airlines (Brunei) dan SabahAir (Sabah), kita ada tiga syarikat penerbangan yang berlesen.
“Mungkin kita boleh uruskan melalui pakej mungkin seminggu di Sabah, seminggu di Sarawak dan seminggu di Brunei. Brunei ada kapal terbang tetapi kita tiada dan kalau ada gabungan dari tiga wilayah ini, kita ada kelebihan mempunyai minyak sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Shafie juga menggesa kerajaan pusat untuk meningkatkan jumlah penerbangan ke Sabah dan Sarawak terutama pada musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.