Sistem cegah pemalsuan pengisytiharan cukai jualan di Sabah akan diwujudkan: Masidi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sistem cegah pemalsuan pengisytiharan cukai jualan di Sabah akan diwujudkan: Masidi



1 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kewangan Negeri (KKN) akan mewujudkan Integrated System secara atas talian antara KKN dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mencegah pemalsuan pengisytiharan oleh syarikat.


Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini bagi mencegah aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat yang terlibat kepada KKN Sabah.


“Saya mengambil perhatian serius berikutan kes melibatkan aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat yang terlibat kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah yang dilaporkan melalui sesi Khidmat Nasihat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah.


“Kerajaan Negeri komited untuk mengekang perkara ini dari terus berlaku.


“Oleh itu, langkah-langkah seperti menambahbaik proses-proses penguatkuasaan dan kutipan akan dilakukan termasuklah pindaan (jika perlu) ke atas undang-undang dan peraturan-peraturan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dan kepentingan Kerajaan Negeri terjaga,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Masidi berkata, selain itu satu unit Task Force akan dibentuk melibatkan KKN Sabah, MPOB dan SPRM bagi tujuan mengutip semula cukai jualan sekiranya ada yang masih belum diisytiharkan kepada KKN Sabah.


“Pihak KKN Sabah bersetuju memberikan tempoh moratorium Bayaran Balik Cukai kepada syarikat yang terlibat.


“Syarikat-syarikat boleh memohon untuk taksiran semula sekiranya mereka membuat pengisytiharan butiran yang tidak betul kepada KKN Sabah dan membayar cukai yang sebenar selepas taksiran dibuat oleh pihak KKN Sabah,” katanya.


Masidi berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha-usaha pencegahan rasuah di negeri Sabah.

bottom of page