Siswa UMS Raih Kejayaan Peringkat Nasional Menerusi Projek Integrasi Teknologi Dalam Pertanian Pintar
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

24 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Inisiatif pelajar tahun dua Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terhadap usaha mengintegrasikan teknologi dalam pertanian pintar mendapat pengiktirafan apabila berjaya dinobat sebagai juara bagi SDG Agent Grant Pitching 2025 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan kumpulan pelajar yang membentangkan projek “The Oasis: Empowering Youth through IoT-Integrated Community Smart Farming” menerima geran berjumlah USD1,000.
Ketua projek, Mohd Asran Lataga yang juga Presiden Kelab YOSH UMS berkata, kemenangan tersebut membuktikan kemampuan mahasiswa UMS dan belia Sabah dalam menyelesaikan isu keterjaminan makanan, bekalan air, ekonomi komuniti serta kesedaran terhadap pertanian pintar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Projek The Oasis ini mengintegrasikan pertanian pintar menggunakan Internet of Things (IoT) serta model Pay It Forward sebagai usaha menangani isu kelaparan dan kekurangan akses makanan segar dan berkhasiat dalam kalangan pelajar dan belia B40 di Sabah.
”Di samping itu juga, inisiatif ini turut mendidik serta melatih belia dalam kemahiran pertanian pintar berasaskan teknologi,” katanya.
Mengulas lanjut, Asran berkata projek itu bermula sebagai inovasi kokurikulum pada Semester 1 2023/2024 dan pernah memenangi Anugerah Emas serta Anugerah Khas Pengarah PKPKP UMS dalam Karnival Inovasi UMS 2024.
“Selepas itu, projek The Oasis diangkat ke pelbagai platform peringkat nasional dan antarabangsa dengan bimbingan mentor serta sokongan Pusat Pembangunan Kerjaya & Keusahawanan (CEDeC) dan Pusat Islam UMS.
“Kemenangan ini diharap berupaya menjadi pemangkin untuk lebih banyak inovasi yang mampu mengangkat nama UMS sebagai hab inovasi sosial di peringkat nasional serta menjadi pembakar semangat belia khususnya mahasiswa untuk terus berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.
Majlis penutupan SDG Agent Grant Pitching 2025 disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Belia MySDG Academy, Philus George Thomas bersama Pengarah MySDG Academy merangkap Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Sekretariat APPGM-SDG, Zoel Ng.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri.
Comments