SK Kiau 1 Meriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan dengan Semangat Patriotik
- nabalunews
- Sep 24
- 1 min read

24 September 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau 1 telah menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan dengan penuh meriah dan semangat patriotisme di Dewan Terbuka Badi Kiau, Kota Belud, hari ini.
Acara yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu disertai oleh lebih 200 orang termasuk guru-guru, ibu bapa, murid-murid SK Kiau 1 serta komuniti setempat dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kiau Nuluh, Kiau Taburi dan Kiau Bersatu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Encik Loverinus Dell Jailih, yang turut menekankan kepentingan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Objektif utama sambutan ini adalah untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa; mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kekitaan antara komuniti sekolah; serta menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan melalui pelbagai aktiviti kreatif dan kebudayaan.
Selain itu, penganjuran ini turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dan murid dalam program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.


















Comments