top of page

SK Simpangan Dipindah Ke Lokasi Baru Di Tanah KPD Kampung Simpangan Paitan - James Ratib

  • nabalunews
  • Apr 19
  • 2 min read

19 April 2026


PAITAN: Isu banjir yang sekian lama menjejaskan kelancaran sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Paitan bakal selesai apabila sekolah berkenaan yang musnah dalam kejadian banjir besar pada awal tahun ini disahkan akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat.


Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kawasan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan telah dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi tujuan pemindahan tersebut.


Katanya, cadangan itu mengambil kira faktor keselamatan serta keperluan jangka panjang murid dan warga sekolah yang sering berdepan risiko banjir di lokasi sedia ada.

“Adalah wajar SK Simpangan yang sering dilanda banjir dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan iaitu di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK susulan tapak asal sekolah tersebut sangat rendah dan berhampiran dengan sungai.


“Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di pekan Paitan dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak binaan sekolah sementara SK Simpangan di Pekan Tamu Mingguan Pekan Paitan, pada Sabtu.

James berkata, cadangan pemindahan itu akan melalui proses pewartaan tanah yang akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum diangkat ke peringkat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan selanjutnya.


Dalam pada itu, bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pembinaan sekatan atau ‘partition’ yang sesuai.


“Langkah ini penting bagi memastikan murid terus mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana yang kondusif sementara menunggu pembinaan sekolah baharu diselesaikan,” jelas beliau.

Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi SMK Simpangan serta menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan tersebut.


Usaha pemindahan ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah, di samping memperkasa infrastruktur pendidikan luar bandar di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page