- Wartawan Nabalu News
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023 dilancarkan di Sabah

18 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebagai usaha untuk menstabilkan harga dan bekalan barangan semasa musim perayaan Hari Raya Puasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 peringkat negeri.
Pelancaran dan walkabout skim ini telah disempurnakan oleh Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas di Pasaraya Servay Putatan, Kota Kinabalu Sabah pada Isnin.
Skim ini melibatkan 21 jenis barangan harga terkawal yang termasuk daging kerbau import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, timun, bawang besar merah import, bawang besar kuning (Holland), bawang putih (China), bawang kecil merah India (Ros), bawang kecil merah India, ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, halia tua import, kelapa biji (borong sahaja), kelapa parut (runcit sahaja), ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram) dan ikan demudok atau sagai atau cermin atau cupak (berat antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap kilogram).
Selain itu, ayam dan telur juga dikawal harganya di bawah pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam Dan Telur Ayam (PHMAT).
Skim ini akan berkuat kuasa selama 16 hari iaitu dari 15 hingga 30 April
KPDN bekrata tujuan skim ini diperlekenalkan adalah untuk membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati perayaan dalam keadaan ceria dan harmoni dengan harga yang berpatutan.
“Skim ini juga merupakan sebahagian daripada usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN Sabah akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Peniaga boleh didenda oleh mahkamah atau dikompaun mengikut kesalahan yang dilakukan,” kata KPDN dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, KPDN juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga.
Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan yang disediakan oleh KPDN seperti Whatsapp, Portal Aduan, Call Centre, Emel, Ez ADU KPDN, Pejabat KPDN yang berdekatan, Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command Centre), Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan dan Bilik Gerakan KPDN Negeri.