Sokongan GLC Diperlukan Bagi Memperkasa Inisiatif Dapur Siswa UMS
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

2 Januari 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tampil menghulurkan sumbangan bagi menyokong inisiatif Dapur Siswa.
Ia dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) khusus untuk membantu pelajar kurang berkemampuan dari luar bandar.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata inisiatif yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar.

Katanya, ia melibatkan dua kolej kediaman utama UMS iaitu Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Mustafa.
“Dapur Siswa merupakan satu pendekatan praktikal dalam meringankan beban pelajar, terutamanya ketika kos sara hidup dan harga makanan semakin meningkat.
“Ia sekali gus memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke dua buah Dapur Siswa UMS di sini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur, serta pegawai-pegawai kanan universiti.
James berkata, kerajaan negeri komited memastikan kelangsungan program ini dan akan memaklumkan kepada beberapa GLC serta syarikat berkemampuan untuk turut sama menyumbang, sama ada dalam bentuk bahan mentah makanan atau bantuan kewangan.

Sebagai tanda sokongan awal, katanya, beberapa GLC di bawah kementeriannya telah dibawa bersama dalam usaha ini, selain sumbangan peribadi sebanyak RM30,000 bagi menjayakan pelaksanaan Dapur Siswa berkenaan.
“Inisiatif Dapur Siswa UMS turut dirancang untuk diperluaskan ke kampus UMS di Labuan dan Sandakan, selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan semua mahasiswa di Sabah terus terjamin,” katanya.


















Comments