SPRM Kemuka Tatakelola KPLB Sabah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

23 Disember 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan lima cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah susulan isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) yang didapati tidak diduduki walaupun telah siap dibina.
Cadangan itu merangkumi penambahbaikan kriteria penerima, termasuk menetapkan pemohon mestilah Ketua Isi Rumah (KIR) serta mewajibkan pemilik rumah daif merobohkan rumah usang selepas rumah baharu siap dibina.
Selain itu, permohonan tidak akan diluluskan sekiranya pemohon mempunyai sumber pendapatan, manakala pemilikan RMSMJ tidak dibenarkan ditukar kepada pihak lain kecuali KIR meninggal dunia dan hak milik dipindahkan kepada pewaris sah.

SPRM Sabah turut mencadangkan pewujudan mekanisme pemantauan menyeluruh sebelum, semasa dan selepas pembinaan RMSMJ, selain memperkenalkan borang permohonan rasmi.
Sehubungan itu, klausa Peringatan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dicadangkan dimasukkan ke dalam borang permohonan, manakala taklimat dan kefahaman garis panduan RMSMJ diberikan kepada semua pihak terlibat di dalam program ini.
Cadangan berkenaan dibuat hasil siasatan awal yang mendapati terdapat penerima bantuan RMSMJ tidak mendiami rumah berkenaan dan sebaliknya menyewakannya kepada pihak lain.
Semua syor itu disampaikan oleh Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah kepada KPLB dan disambut baik oleh Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Myrna Jimenez, dalam sesi pembentangan di pejabat KPLB, semalam.
Myrna berkata, pihaknya akan mengambil tindakan penambahbaikan bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti.
Turut hadir Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham serta wakil Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Mohd Jamri Ag Damit.


















Comments