STAR Kekal Pembangkang
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

2 Disember 2025
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak akan menyertai kerajaan negeri baharu yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus mengekalkan komitmen untuk memastikan Sabah diperintah oleh parti-parti tempatan sepenuhnya.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, berkata pendirian itu adalah konsisten dengan perjuangan parti di mana kerajaan negeri mesti dibentuk tanpa kebergantungan kepada pengaruh parti-parti dari Semenanjung.
Katanya, pelantikan Datuk Mohd Ishak Ayub sebagai Pembantu Menteri adalah lantikan terus oleh Ketua Menteri dan bukan hasil rundingan atau kuota parti.
“Sebagai wakil rakyat Bingkor, STAR menghormati keputusan beliau untuk menerima jawatan tersebut.
“STAR akan bertindak sebagai Pembangkang yang bertanggungjawab. Kami akan menyokong dasar yang melindungi Sabah dan menentang apa-apa langkah yang menjejaskan MA63, Perlembagaan atau perjuangan Sabah untuk Sabahans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffrey berkata, pendirian parti kekal tegas dan tidak berubah iaitu menyokong pembentukan kerajaan negeri yang diterajui sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah.
“Apa-apa bentuk campuran yang melibatkan pengaruh luar, hanya akan melemahkan kekuatan tawar-menawar Sabah pada masa hadapan.
“STAR akan terus menjalankan amanah sebagai parti pembangkang dengan penuh integriti, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Sabah,” katanya.














