Sumbangan CSR SKM perkukuh komuniti Kadamaian
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_f05a65e6e805432b995e3da4b587895b~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_f05a65e6e805432b995e3da4b587895b~mv2.jpg)
10 Disember 2024
KOTA BELUD: Pelbagai organisasi dan komuniti di Kadamaian menerima manfaat besar melalui sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang disalurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Inisiatif di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan untuk memperbaiki infrastruktur komuniti serta menyokong pelbagai kelab dan badan tempatan.
Antara penerima utama bantuan ini ialah Kelab Progresif Kadamaian Kota Belud.
Joel Deukin, Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian yang juga setiausaha kelab tersebut, memaklumkan bahawa peralatan berupa kerusi dan meja akan diserahkan kepada pengurusan Dewan Terbuka Kampung Bukit Bendera Taginambur Jaya.
Dewan ini memainkan peranan penting sebagai pusat untuk pelbagai program sosial dan kebudayaan masyarakat setempat.
Selain itu, Kelab Kebajikan Kadamaian turut mendapat sumbangan yang sama, yang akan digunakan oleh Dewan Sidang Injil Borneo (SIB) Kawasan Nahaba.
Menurut wakil Kelab Kebajikan Kadamaian, Hadlee Panchai,
peralatan itu akan diserahkan kepada pihak gereja bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti.
“Kerjasama ini memastikan sumbangan dimanfaatkan sepenuhnya, sekaligus memudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti masyarakat,” kata Hadlee.
Kelab Belia Kampung Sayap juga tidak ketinggalan menerima bantuan ini.
Pimpinannya, Jaimon Peturus, menyatakan bahawa dewan komuniti kampung mereka kini bersedia menjadi lokasi utama untuk aktiviti belia dan majlis komuniti. Peralatan asas yang disumbangkan akan membantu melancarkan pelbagai aktiviti yang dirancang.
Bagi Kampung Pinasang Moroulu, Kota Belud, sumbangan ini memberi impak besar kepada penduduk.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Pinasang Moroulu, Jiffanyus Sitimin,.keperluan peralatan seperti kerusi dan meja adalah amat mendesak sebelum ini.
“Bantuan ini menyelesaikan masalah yang lama kami hadapi. Kini, kami tidak lagi perlu meminjam dari kampung jiran untuk mengadakan aktiviti,” jelasnya.
Terdahulu, majlis rasmi penyerahan bantuan telah berlangsung pada 7 Disember lalu dengan kehadiran Malisah Sinin, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM Negeri Sabah yang menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil penerima.
Bagi penerima sumbangan ini, langkah ini jelas menunjukkan bahawa kolaborasi erat antara kerajaan dan masyarakat mampu membawa perubahan positif.
Bagi mereka, dengan kemudahan yang lebih baik, komuniti Kadamaian kini berpeluang untuk terus maju, baik dalam aspek sosial, kebudayaan, mahupun keagamaan.
Comments