Suspek Kes Ugut Dan Cederakan Wanita Ditahan
- nabalunews
- Sep 6
- 1 min read

6 September 2025
TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes ugutan serta mencederakan seorang wanita lain di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Titingan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berkaitan hal keluarga antara kedua-dua wanita terbabit.
Katanya, dalam pergaduhan itu, suspek bertindak agresif dengan memukul serta mengugut mangsa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa.
“Bertindak atas laporan polis yang dibuat oleh mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek.
“Suspek berjaya ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani sebarang konflik.
Sebaliknya katanya, masyarakat dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


















Comments