top of page
nabalunews

Tagal mampu jana ekonomi dan pupuk perpaduan penduduk

28 Oktober 2024


NABAWAN: Sistem tagal bukan sahaja mengekalkan eko-sistem pelbagai hidupan sungai tetapi kini sudah menjadi sumber ekonomi penduduk setempat

jika ia diurus dengan baik, selain memupuk perpaduan dan permuafakatan penduduk kampung.


Pegawai Perikanan Daerah Nabawan Benedict Sanadon berkata terdapat beberapa sistem tagal di daerah lain di negeri ini yang dahulunya diwujudkan untuk memulihkan spesis ikan sungai yang semakin terancam dan memulihara eko sistem alam sekitar tetapi kini ia menjadi sumber ekonomi penduduk terlibat.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat penjagaan tagal sempena Program Jiwa Madani anjuran bersama Komuniti Madani Kampung Salarom Baru dan Jabatan Penerangan Daerah Nabawan baru-baru ini.


Sempena program itu, Komuniti Tagal Kampung Salarom Baru dan Komuniti Madani Kampung mengadakan gotong-rotong membina titian (tangga) untuk kemudahan tagal kampung itu.


Gotong-royong itu dilancarkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai.


Benedict berkata, sistem tagal yang diurus dengan baik akan lebih menarik lebih ramai pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara.


"Kehadiran pengunjung yang ramai sudah tentu menyumbang kepada ekonomi penduduk kerana mereka boleh menjual produk-produk tempatan seperti kraftangan dan sebagainya kepada pengunjung" katanya.


Hadir sama pada program itu, Pegawai Penerangan Daerah Nabawan Sam Mansibu, pemimpin komuniti tagal dan Komuniti Madani Kampung Salarom Baru.

Comments


bottom of page