Tahun baharu 2026: Kerajaan sedia laksana SMJ 2.0 secara holistik
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

31 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersedia melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara holistik, inklusif dan menyeluruh bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan SMJ 1.0 sepanjang tahun 2025 telah menjadi asas yang kukuh kepada pembangunan negeri, sekali gus menyediakan landasan penting untuk fasa pembangunan Sabah seterusnya.
“Dengan mandat baharu yang telah diberikan, komitmen kerajaan negeri adalah jelas iaitu memperkukuhkan tadbir urus, mengekalkan kestabilan politik serta memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu 2026, hari ini.
Hajiji berkata semangat kebersamaan dan tekad yang kukuh dalam kalangan kepimpinan serta rakyat Sabah menjadi kekuatan utama untuk menjayakan agenda pembangunan negeri di bawah SMJ 2.0.
Sempena sambutan Tahun Baharu 2026, beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.
"Insya-Allah, 2026 akan membuka lembaran baharu bagi negeri Sabah untuk terus melangkah ke hadapan.
"Bersama-sama, kita bina Sabah yang lebih makmur, bersatu dan berdaya tahan," katanya.














