Tahun Baharu Cina: Adat resam dan pantang larang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tahun Baharu Cina: Adat resam dan pantang larang


Masyarakat Tiong Hua kini dapat merayakan Tahun Baru Cina bersama keluarga selepas Kerajaan melonggarkan SOP perayaan tersebut pada tahun ini.

3 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Walaupun masih di ambang pandemik Covid-19, masyarakat Tiong Hua dapat merayakan Tahun Baharu Cina dengan riang ria berbanding tahun lalu.


Ini kerana kerajaan telah melonggarkan pelaksanaan Prosedur Operasi Piawai (SOP) memandangkan hampir seluruh rakyat Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin yang mampu mengurangkan risiko jangkitan.


Pada tahun ini, tinjauan Nabalu News mendapati sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut mulai 1 Februari lalu penuh meriah dengan aktiviti ziarah-menziarahi, persembahan tarian singa serta membakar mercun dan bunga api.


Walaupun ia disambut dengan meriah, tidak dinafikan ramai generasi muda kaum Cina semakin lupa atau kurang faham adat resam dan pantang larang sambutan ini.

Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook.

Baru-baru ini, Nabalu News sempat menemubual Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook yang merupakan salah satu wakil kaum Cina dalam parti UPKO untuk mengupas lebih lanjut perkara ini.


Jamuan Makan Malam Besar


Menurut Wong, apa yang paling penting dalam perayaan ini adalah jamuan makan malam besar bersama keluarga (reunion dinner) yang diadakan pada malam sebelum hari pertama Tahun Baharu Cina.


“Kaum Cina biasanya lebih serius dalam persediaan reunion dinner kerana ahli keluarga dari jauh balik setahun sekali untuk menyambut perayaan ini.


“Sudah tentu persediaan reunion dinner tahun ini lebih serius kerana ada ahli keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya dapat pulang pada tahun ini.

Wong bersama keluarga pada waktu perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Reunion dinner adalah perayaan sebenar Tahun Baru Cina, selebihnya adalah untuk menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan,” katanya, sambil menambah beliau gembira kerana reunion dinner keluarganya lengkap pada tahun ini dengan kepulangan anaknya yang menetap di Singapura.


Wong berkata, kebiasaanya warga tua lebih menekankan jamuan reunion dinner bersama keluarga kerana ia lebih memberi makna kepada mereka yang pernah mengharungi hidup susah sebelum ini.


“Bagi generasi saya, kami pernah mengharungi hidup susah di mana kami hanya mampu makan makanan yang sedap pada Tahun Baharu Cina.


“Berbeza dengan sekarang, makanan seperti nasi ayam atau minuman ‘Starbucks’ boleh dibeli pada bila-bila masa kerana kita sudah mampu dari segi kewangan. Mungkin disebabkan ini, jamuan makan malam sudah kurang bermakna,” jelasnya.

Acara jamuan 'reunion dinner' bersama keluarga Wong.

Bagaimanapun, akibat harga barang makan yang semakin naik, Wong berkata reunion dinner kali ini lebih cenderung diadakan secara sederhana bagi mengurangkan pembaziran wang.

Menurutnya lagi, lagu-lagu perayaan yang berkumandang di radio juga menimbulkan nostalgia kepada warga tua. Bagi generasi muda, lagu-lagu perayaan mungkin tidak membawa apa-apa makna.


Pantang Larang Tahun Baharu Cina


Mengenai pantang larang Tahun Baharu Cina, Wong berkata, terdapat perubahan dalam pantang larang pada masa kini.


“Ini kerana pada zaman dahulu, masyarakat Cina mengamalkan amalan pagan tetapi sekarang, mereka sudah mempunyai pegangan agama masing-masing.

Suasana jamuan makan malam pada Tahun Baru Cina.

“Kepercayaan kaum Cina pada zaman dahulu lebih kepada kepercayaan tahyul (superstitious). Contohnya, untuk makan malam Tahun Baru Cina, tauhu adalah makanan yang mesti dihidangkan kerana ia bermaksud ‘kekayaan’ bagi kaum Cina.


“Namun, pada zaman sekarang, amalan seperti ini hanyalah suatu simbolik dalam perayaan tersebut,” katanya.


Begitu juga dengan limau. Dalam Bahasa Kantonis, limau yang disebut sebagai ‘gam’ bermaksud emas yang juga satu simbol ‘kekayaan’. Manakala sayur Sang Choy pula membawa maksud ‘kurniaan umur’ yang panjang.


“Kaum Cina juga percaya bahawa makanan perlu dihidang lebih banyak untuk menarik ‘ong’ (tuah),” jelasnya.


Untuk hari pertama dan kedua, kaum Cina dilarang menyapu rumah kerana dipercayai menyapu boleh menyapu ‘ong’ keluar dari rumah.

Antara hidangan yang disiapkan oleh Wong sebelum jamuan makan malam bersama keluarga bermula.

Manakala, jika ada barangan rumah yang terpecah semasa perayaan Tahun Baru Cina, ia akan dianggap sebagai petanda buruk. Oleh itu, barang pecah akan dibungkus menggunakan kertas merah untuk memastikan apa yang pecah itu ‘membuahkan hasil’.


Kaum Cina juga tidak dibenarkan untuk memakai baju hitam atau berwarna gelap kerana bagi orang dulu-dulu, warna gelap menandakan sesuatu yang tidak bagus seperti kematian.


“Ramai orang, terutamanya generasi muda, sudah tidak mengamalkan adat resam dan pantang larang seperti ini. Saya percaya kalau generasi tua sudah lenyap nanti, amalan ini juga akan hilang ditelan zaman,” katanya.


Pemberian angpau juga adalah antara aktiviti yang paling dinanti-nantikan semasa Tahun Baharu Cina. Namun, berbeza dengan zaman sekarang, jumlah angpau pada zaman dahulu walaupun hanya RM1 sudah cukup memadai.


“Zaman sekarang, mungkin kalau bagi RM10 pun sudah tidak dipandang,” katanya berjenaka.


“Dulu-dulu, angpau digunting dari kertas merah yang digunakan untuk membungkus duit. Namun sekarang, paket angpau boleh didapati dengan pelbagai warna dan hiasan,” katanya dan menambah, biasanya angpau hanya diberi kepada individu bujang.


Tarian singa semasa perayaan Tahun Baharu Cina pula adalah tarian tradisional yang dipersembahkan untuk menakutkan dan menghalau makhluk jahat.


“Perayaan Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang sangat ‘bising’. Ia bertujuan untuk menakutkan dan menghalau ‘monster’, bukan sahaja melalui tarian singa tetapi juga melalui bunyi mercun yang dibakar. Tetapi ini hanyalah cerita dongeng.”


Selain menakutkan makhluk jahat, kaum Cina juga percaya bahawa tarian singa berkebolehan untuk menarik ‘ong’ ke dalam rumah.


“Perayaan Tahun Baharu Cina ini memang berkait dengan kekayaan, oleh itu kita menyebut ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ yang bermaksud ‘semoga menjadi kaya’,” jelasnya.


Kaum Cina juga mengadakan hidangan ‘lao sang’ atau ‘yee sang’ yang biasanya terdiri daripada potongan daging salmon bercampur dengan cebisan sayur-sayuran, aneka sos dan perasa, serta ramuan-ramuan lain.


Jika mengikut adat, ia dihidangkan pada hari ketujuh Tahun Baharu Cina sebagai pembuka selera untuk memupuk ‘tuah’ di mana saudara-mara berkumpul di keliling meja lalu melambung cebisan ramuan ke udara dengan penyepit.


Namun, pada zaman sekarang, yee sang boleh dihidangkan bila-bila masa musim perayaan Tahun Baharu Cina.


“Berbeza pula bagi komuniti Hokkien, Tahun Baharu Cina disambut pada hari kelapan. Ini kerana pada zaman perang di China, komuniti Hokkien bersembunyi di ladang tebu dan hanya keluar menyambut perayaan ini pada hari kelapan.


“Inilah antara sebab mengapa komuniti Hokkien suka membeli tebu, ia digunakan sebagai simbol penting untuk diletakkan di kediaman masing-masing,” jelas Wong.


Chap Goh Mei


Perayaan Chap Goh Mei iaitu hari terakhir Tahun Baru Cina pula disambut pada hari ke-15. Ia merupakan Hari Kekasih bagi masyarakat Cina.


“Pada zaman dulu, jika lelaki ingin cari pasangan, mereka akan memasukkan buah limau ke dalam kertas yang kemudiannya dibuang ke dalam sungai agar ia bergerak mengikut aliran sungai dengan harapan ia ditemui oleh jodohnya,” jelasnya.


Bagaimanapun, bagi Wong, adat resam dan pantang larang Tahun Baharu Cina ini hanya tradisi semata-mata.


“Apa-apa pun, saya akan cuba memumpuk tradisi ini di kalangan anak-anak saya agar budaya ini dapat diturunkan kepada generasi akan datang,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page