Taklimat dan Dialog Penyukatan PANTAS Mukim Pinolobuh Teruskan Agenda Pembangunan Kadamaian
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

27 Oktober 2025
KOTA BELUD: Satu sesi Taklimat dan Dialog Penyukatan PANTAS bagi Mukim Pinolobuh telah diadakan di Dewan Tamu Desa Tradisi Pinolobuh, Kota Belud, hari ini. Program tersebut dikendalikan oleh Pool Rumanti, Penolong Juruukur Daerah, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Kota Belud, dan turut disertai oleh para pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan baru-baru ini, pelaksanaan program Penyukatan Tanah Secara Sistematik (PANTAS) di kawasan Kadamaian tetap diteruskan sebagai sebahagian daripada Pelan Pembangunan Kadamaian 2020–2035 yang diperkenalkan oleh Datuk Ewon Benedick semasa beliau menjadi ADUN Kadamaian. Inisiatif ini dilihat penting dalam memperkukuh pemilikan tanah rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar.
Taklimat tersebut memberi penerangan terperinci kepada penduduk mengenai proses penyukatan tanah yang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah secara lebih sistematik, cepat dan telus. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan pemilikan tanah, malah membantu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan Kadamaian.

Dalam sesi dialog yang diadakan, penduduk turut berpeluang menyuarakan pandangan dan mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu tanah di kawasan masing-masing. Pool Rumanti menegaskan bahawa kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama erat antara jabatan dan komuniti setempat.
Program ini sejajar dengan aspirasi Jabatan Tanah dan Ukur untuk “Menjadikan Jabatan Yang Cemerlang dalam Pentadbiran dan Pengurusan Tanah”, serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat dalam pengurusan sumber tanah yang mampan di daerah Kota Belud.


















Comments