top of page

Tamu Desa bukti komitmen kerajaan perkasa PMKS: Ewon

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 2 min read
Ewon (tengah) bersama Mandela (kanan), Donald (dua dari kanan), Noemi (tiga dari kiri) dan Pengerusi JKKK Kg Ramayah Valentius Bosuin (tiga dari kanan), bergambar selepas perasmian Tamu Desa Kg.Ramayah.
Ewon (tengah) bersama Mandela (kanan), Donald (dua dari kanan), Noemi (tiga dari kiri) dan Pengerusi JKKK Kg Ramayah Valentius Bosuin (tiga dari kanan), bergambar selepas perasmian Tamu Desa Kg.Ramayah.

3 Januari 2026


PENAMPANG: Pembinaan Premis Tamu Desa adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di peringkat kampung, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, antara Tamu Desa yang dibina di Sabah ialah Tamu Desa Kg.Ramayah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), tahun lalu.


“Tamu Desa ini adalah antara kemudahan yang dipohon oleh pemimpin kampung semasa saya menerajui KUSKOP dan berharap kemudahan ini dapat digunakan sepenuhnya.

ree

“Saya difahamkan bahawa tamu di kampung ini diadakan setiap hari Sabtu yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Kampung Ramayah, dan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan kecil tempatan untuk menjalankan aktiviti jualan.


“Perkembangan ini membuktikan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan selaras dengan keperluan sebenar usahawan mikro dan kecil di peringkat kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Premis Tamu Desa Kg.Ramayah, sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2026, di Dewan Raya kampung itu, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menegaskan bahawa sebagai Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) yang baharu, fokus utama kementeriannya adalah untuk memperkasa PMKS sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.

ree

“Portfolio pengangkutan di bawah kementerian saya memberi tumpuan kepada aspek logistik, melibatkan tiga agensi yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah, iaitu Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dan Jabatan Dermaga Sabah, yang kini diletakkan di bawah kementerian saya,” katanya.


Selain itu, beliau juga berperanan sebagai Exco kepada beberapa agensi Persekutuan berkaitan pengangkutan.


Turut hadir, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena John dan para pemimpin setempat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page